ISKANDAR PUTERI – Bunyi dentuman dari kawasan lereng bukit berhampiran tangki air Mutiara Rini 2, di sini, minggu lalu mengejutkan dan membimbangkan kira-kira 5,000 penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Mereka kini hidup dalam kebimbangan kerana dentuman itu mengakibatkan tanah runtuh di kawasan tangki air yang jaraknya hanya 50 meter dari penempatan penduduk.
Penjawat Awam yang juga penduduk, Najib Suhaimi, 37, berkata, apabila melakukan pemeriksaan, beliau mendapati struktur di kawasan itu telah pecah dan menggelongsor.
Dakwanya, pergerakan tanah atas bukit yang menempatkan tangki air Mutiara Rini 2 itu sudah mula dilihat sejak awal Mac lalu.
“Aduan dibuat kepada pihak persatuan penduduk berhubung perkara itu. Kejadian bertambah buruk pada 27 April lalu, apabila struktur batuan cerun itu merekah dan menggelongsor selepas hujan lebat.
“Pada malam kejadian, isteri saya terdengar bunyi dentuman yang kuat dari kawasan lereng bukit itu sebelum mendapati struktur itu telah pecah dan menggelongsor.
“Kejadian menyebabkan kami sekeluarga jadi panik. Jika berlaku lagi runtuhan selepas ini, ada risiko tangki air di atas bukit itu pecah, ini amat membincangkan kerana rumah saya paling hampir,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Bapa kepada tiga anak itu memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang dihala ke arah lereng itu bagi merakam sekiranya berlaku lagi pergerakan tanah selepas ini.
Seorang lagi penduduk, Mack Lee, 45, percaya kejadian itu berpunca daripada aliran air dalam tanah yang menyebabkan tanah menjadi lembap seterusnya berlaku pergerakan tanah.
Ujarnya, kejadian itu juga menyebabkan beberapa infrastruktur seperti pagar, longkang, paip air dan elektrik rosak sepenuhnya akibat dihempap runtuhan struktur batu di cerun tersebut.
“Lebih membimbangkan, tangki air ini bukan saja menampung keperluan penduduk di taman itu sahaja tetapi untuk beberapa kawasan lain juga.
“Jika tangki ini terjejas, ramai yang akan terkena tempias, dan kami adalah yang paling teruk terjejas kerana berada bersebelahan sahaja,” ujarnya.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Rini Homes 7, G. Vethavalli, 41, berkata, satu aduan rasmi dibuat kepada Ranhill SAJ, Pejabat Menteri Besar Johor termasuk Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Katanya, aduan dibuat kerana khuatir akan keselamatan penduduk setelah kawasan tersebut mereka tempat penduduk beriadah dan meletakkan kenderaan mereka.
“Kawasan runtuhan itu bertambah buruk sehari kemudian apabila struktur itu terus menggelongsor sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan pada pagar di lereng tersebut,” katanya.
Suri rumah itu berharap tindakan susulan dapat diambil segera oleh Ranhill SAJ bagi menjamin keselamatan penduduk yang khuatir kerosakan di cerun itu bertambah buruk setiap kali hujan lebat berlaku.
“Ramai penduduk di sini bekerja di Singapura dan kita bimbang jika musibah berlaku ketika bekerja, bagaimana keadaan isteri dan anak-anak di rumah. Oleh itu, kita rayu tindakan segera diambil,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang melawat lokasi kejadian meminta Ranhill SAJ dan pihak berkaitan mengambil tindakan segera.
“Saya mengharapkan MBIP dan pihak SAJ mengambil tindakan segera kerana runtuhan agak membesar, kita takut runtuhan ini mengakibatkan jatuhnya tangki air yang besar di atas dan mengakibatkan kemalangan kepada penduduk.
“Apatah lagi keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, jadi saya minta pihak berkaitan membuat tindakan segera, kita takut jika aduan penduduk tidak diendahkan akan memberi malapetaka kepada penduduk di sini,” katanya. – MalaysiaGazette
















