Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hadir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2025.
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesyorkan agar kerajaan melaksanakan lima langkah fiskal dan kewangan untuk menangani cabaran tarif timbal balik dan kemelesetan ekonomi khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
Beliau yang Ahli Parlimen Bagan berkata, ini kerana IKS menyumbangkan 39 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dapat menyelamatkan ekonomi Malaysia.
Jelas beliau, ada kebimbangan besar sumbangan IKS kepada KDNK akan menyusut kepada 35 peratus sekiranya perlindungan yang sewajarnya tidak diberikan oleh kerajaan.
“Pertama membekukan segala syor-syor menambahkan beban kewangan kepada industri seperti cukai atau kenaikan tariff letrik 14.2 peratus pelaksanaan dan pelaksanaan e-invoicing pada bulan Julai 2025 serta menangguhkan pengapungan minyak RON 95 kepada harga pasaran.
“Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan menangguhkan perluasan skop cukai SST pada 1 Mei 2025 amat dialu-alukan. Kerajaan juga harus menimbang menarik balik cadangan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak dua peratus oleh majikan bagi pekerja asing.
“Kedua dengan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia sebanyak dua peratus daripada tiga peratus sekarang kepada satu peratus memandangkan kadar inflasi kian terkawal, sasaran utama harus ditumpukan kepada menggerakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya pada perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan isu tarif timbal balik di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Guang Eng berkata, syor ketiga membabitkan pakej rangsangan ekonomi untuk membantu sektor terjejas dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Tambah beliau, selain daripada geran kerajaan, sektor perbankan harus diwajibkan untuk memberikan pinjaman mudah atau memberikan kelonggaran atas pinjaman yang sedia ada.
Syor seterusnya katanya, memberikan peluang perniagaan dan membuka akses kepada industri tempatan dengan mewajibkan semua pelabur asing dan tempatan diwajibkan membeli sekurang-kurangnya 50 peratus barangan tempatan.
“Banyak IKS membuat aduan bahawa kontraktor asing yang menangi pembidaan kerajaan dan swasta hanya membeli barangan daripada negara asal mereka sehingga IKS tempatan tidak memperolehi sebarang tempahan perniagaan.
“Satu perkara yang sama penting ialah melindungi peniaga tempatan daripada peralihan perdagangan terutama sekali tindakan lambakan produk-produk oleh negara-negara yang disekat daripada memasuki pasaran Amerika Syarikat seperti negara China.
“Penguatkuasaan menghindarkan lambakan barangan mestilah dipertingkatkan agar industri tempatan tidak ditimbun dengan barangan murah asing sehingga peniaga tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menjualkan barangan mereka,” katanya.
Guan Eng memberitahu, syor kelima dengan meningkatkan perbelanjaan pembangunan kerajaan agar dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi khasnya sektor perkhidmatan kewangan dan logistik seperti mengembangkan karga pelabuhan dan lapangan terbang.
“Ini penting untuk mengurangkan defisit perkhidmatan yang dialami oleh Malaysia dengan negara lain khususnya Singapura.
“Dalam detik cabaran ekonomi global dan pelaksanaan tarif dan demi memperkukuhkan dan mengekalkan ekonomi, semua rakyat Malaysia harus bersatu di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri.
“Kurangkan isu sensitif agama dan perkauman yang mencetuskan perpecahan agar kita sama-sama berusaha dengan satu hati untuk menjaminkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast