Gambar hiasan

MELAKA – Seorang warga emas menemui ajal selepas pulang daripada melakukan kerja-kerja baik pulih masjid di rumahnya di Taman Malim Jaya, di sini petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kematian Abdul Rahim Abd Rahman, 69, disedari rakannya selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri di rumahnya kira-kira jam 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

 

Menurutnya, kali terakhir tukang rumah itu dilihat pada jam 3 petang Jumaat lalu ketika melakukan kerja-kerja binaan di Masjid Kampung Pokok Mangga.

“Sehari sebelum itu pada petang Khamis lalu, warga emas terbabit dikatakan ke kedai rakannya untuk berbual sambil makan aiskrim dalam kuantiti yang banyak sebelum tiba-tiba mengadu semput.

“Selepas pulang ke rumahnya, lelaki itu kembali semula ke kedai rakannya dalam keadaan tercungap-cungap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, selepas mangsa pulang ke rumah, rakannya yang bimbang dengan keadaan warga emas itu kemudian cuba menghubunginya untuk bertanya khabar namun panggilan telefon tidak dijawab.

“Rakannya kemudian ke rumah mangsa untuk memeriksa keadaannya namun mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci selain usaha memanggilnya keluar juga menemui jalan buntu.

“Dia kemudian memanjat pagar dan menjengah melalui tingkap sebelum terkejut apabila mendapati kaki warga emas kaku dalam keadaannya sudah terbaring di lantai,” katanya.

Christopher berkata, lelaki itu kemudian meminta bantuan jiran untuk menghubungi bantuan kecemasan sebelum pasukan polis dan bomba tiba.

“Pemeriksaan bomba mendapati warga emas berkenaan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Menurut jirannya, warga emas terbabit hanya mempunyai penyakit semput dan tidak mempunyai sejarah penyakit lain,” katanya.

Tambahnya, siasatan yang dijalankan mendapati tiada unsur jenayah di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast