KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui masih banyak lagi proses repatriasi atau pemulangan aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu dilakukan terutamanya membabitkan aset-aset di luar negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, meskipun sebahagian besar aset 1MDB dalam negara telah dikenal pasti dan disita, proses mendapatkan semula aset yang diseleweng ke luar negara masih berjalan dan memerlukan masa serta kerjasama pelbagai pihak.
“Pagi tadi, saya telah diberi satu taklimat tentang bagaimana cerita pasal 1MDB ini dan banyak lagi repatriation yang kita perlu buat. Ini bukan satu kerja yang senang.
“Kalau tidak ada bantuan daripada pakar-pakar tertentu, sudah tentu kita akan lambat prosesnya untuk mendapatkan kembali wang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan di sini hari ini.
Azam menjelaskan, aset-aset yang terbabit bukan hanya dalam bentuk wang tunai tetapi juga pelaburan, harta fizikal dan pelbagai instrumen kewangan lain yang memerlukan siasatan mendalam serta kerjasama antarabangsa untuk dikesan dan dipulangkan.
“Banyak harta-harta yang dicuri ini berada di luar negara, bukan dalam negara. Dalam negara, pada saya sudah diselesaikan. Tetapi luar negara ini sangat berselerak,” ujarnya.
Menurut beliau, kerumitan itu timbul kerana SPRM tidak mempunyai akses terus ke semua negara menyebabkan proses pengesanan dan perundangan mengambil masa serta bergantung kepada hubungan diplomatik dan bantuan agensi luar negara.
Sehubungan itu, SPRM kini memperkukuh kolaborasi menerusi Kumpulan Kerja Fokus dan Dedikasi (KKFD) serta Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (METF) yang membabitkan institusi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Selain itu, agensi itu turut menjalin kerjasama rapat dengan pakar tempatan dari universiti, institusi audit serta agensi-agensi kewangan dan forensik untuk membantu dalam aspek teknikal dan analisis siasatan.
“Kami bukan pakar dalam semua bidang. Jadi keperluan mereka ini sangat penting untuk kami terjemahkan dalam bentuk tindakan,” jelas Azam.
Beliau turut menyatakan SPRM tidak lagi bergerak secara bersendirian sebaliknya bergantung kepada kekuatan pakar-pakar luar dan tempatan untuk menyokong tugas penyiasatan, penganalisisan maklumat dan tindakan perundangan.
“Kalau dulu, SPRM bertindak bersendirian dan kadang-kadang kita bekerjama dengan pakar pihak luar dalam kes-kes tertentu tapi sekarang kita mengorak langkah menggunakan tenaga-tenaga pakar tempatan yang lebih kredibel dan berintegriti,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pendekatan menyeluruh itu penting mengurangkan ketirisan kewangan negara dan memastikan aset yang dicuri atau diseleweng dapat dikembalikan untuk manfaat rakyat.
“Kalau kita dapat selamatkan pada satu tahun RM10 bilion, paling tidak, hasil daripada penyelamatan kos ini mungkin sudah tentu manfaatnya kepada rakyat,” tegas beliau.
Setakat ini, beberapa tindakan strategik sedang disusun untuk melancarkan proses repatriasi, termasuk siasatan terhadap individu dan entiti terlibat serta penyusunan rangka kerja tindakan susulan berdasarkan laporan-laporan audit sedia ada.
“Kita sedang tunggu laporan daripada Ketua Audit Negara yang akan dibentangkan tidak lama lagi, mungkin bulan depan. Kerja SPRM yang lain adalah untuk lihat kepada laporan audit ini dan mana-mana perkara yang betul-betul menyebabkan kehilangan wang negara,” tambahnya.
SPRM percaya dengan pelaksanaan pendekatan bersepadu ini, usaha mengesan dan memulangkan aset 1MDB akan dapat digerakkan dengan lebih sistematik dan berkesan. – MalaysiaGazette