KUALA LUMPUR – Pengendali laman sosial Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempertikai pemberian wang menerusi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebagai cara meraih sokongan rakyat.
Sedangkan, katanya, kerajaan selepas pentadbiran Najib termasuk Pakatan Harapan (PH) 1.0 yang dipimpin Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri turut menggunakan pendekatan cash is king.
Apa yang membezakan, katanya, inisiatif itu hanya ditukar nama seperti Bantuan Sara Hidup (BSH); Bantuan Prihatan Rakyat (BPR); Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan kini Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Ironinya, selepas kutuk BR1M sebagai ‘dedak’ dan cash is king, kerajaan-kerajaan selepas Najib – termasuk zaman Tun M sendiri masa PH 1.0 – teruskan juga bentuk bantuan tunai BR1M ini.
“Malah sampai sekarang, ramai masih panggilnya BR1M – walau apa pun nama baru yang kerajaan tukar.
“Najib dituduh beri wang kepada rakyat untuk meraih sokongan, tapi pemimpin yang tuduh itu pun buat benda sama,” katanya menerusi laman sosial Facebook Najib Razak, hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri dua kali berkata, Najib tidak akan berubah sekiranya kembali menjadi Perdana Menteri dan berkemungkinan besar mengulangi pendekatan cash is king dengan memberi wang kepada rakyat sebagai cara meraih sokongan.
Sementara itu, pengendali laman Facebook Najib Razak menegaskan, BR1M bukan sogokan politik, sebaliknya dasar pengagihan semula kekayaan negara secara langsung kepada golongan B40 dan M40 tanpa mengira agama, bangsa, lokasi atau kecenderungan politik.
Jelasnya, BR1M juga tidak perlu melalui lapisan birokrasi atau perlu menunggu projek mega yang tidak diketahui bila akan siap untuk disalurkan kepada rakyat.
“Dapat terus ke tangan ibu tunggal, nelayan, pekebun kecil, peniaga pasar malam dan pada masa sama ianya bantu menaikkan ekonomi tempatan terutamanya di luar bandar – itu kezaliman atau keadilan?” katanya.
Tambah beliau, realitinya bantuan tunai bersasar adalah cara paling telus dan efisien untuk membantu rakyat.
Katanya, kerana pengurusan ekonomi yang cekap, jumlah BR1M dan bilangan penerimanya meningkat hampir empat kali ganda dalam tempoh enam tahun iaitu daripada RM500 pada 2012 ketika diperkenalkan Najib kepada RM2,000 pada 2018.
Dalam masa sama, ujarnya, defisit fiskal kerajaan turun lapan tahun berturut-turut tanpa menaikkan kadar cukai atau memperkenalkan pelbagai cukai-cukai baharu selain menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) (10 peratus ditambah enam peratus) dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.
“Maknanya, di bawah Najib, kerajaan bukan saja mampu bantu lebih ramai rakyat dengan jumlah bantuan yang lebih besar, malah lakukan semua itu tanpa merosakkan kewangan negara.
“Jadi, jelas bukan satu masalah pun untuk kerajaan Najib waktu itu semakin mengagihkan lebih banyak kekayaan negara kepada rakyat melalui cash is king iaitu peningkatan BR1M,” katanya. – MalaysiaGazette