Gambar hiasan
HARI Ibu sinonim dengan jambangan bunga, ucapan manis dan pelbagai bentuk penghargaan. Namun, di sebalik senyuman manis seorang ibu, tersembunyi sejuta rasa yang jarang kita bertanya, apatah lagi menyedari tentangnya. Dalam dunia hari ini yang serba mencabar, ramai ibu menyimpan emosi, keletihan, tekanan dan air mata dalam diam, kerana mereka percaya itu semua hanyalah sebahagian daripada ‘tanggungjawab’ seorang ibu.

Seorang ibu bukan sahaja merupakan penjaga anak, malah juga guru pertama, tukang masak, pemandu, jururawat dan kadangkala turut mengambil alih peranan sebagai ketua dalam sesebuah keluarga. Dalam rutin yang padat, ibu sering meletakkan dirinya paling akhir. Tekanan daripada peranan berganda, harapan masyarakat yang tinggi dan kurangnya ruang untuk rehat menjadikan ramai ibu hari ini berdepan keletihan mental yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar.

Namun mereka tetap bangun pada setiap pagi, tersenyum dan menyambung hari kerana cinta dan kasih sayang yang mendalam terhadap keluarga. Tetapi kita harus sedar, cinta itu juga memerlukan sokongan. Ibu bukan superwoman yang kebal emosi dan mentalnya. Ibu juga manusia yang kadangkala ingin dipeluk tanpa sebab, ingin didengar tanpa diabai, dan dihargai tanpa perlu diminta.

Para ibu, mampukah kalian terus kuat?

Ya, dengan izin Allah dan sokongan sekeliling, ibu boleh terus kuat. Namun kekuatan itu perlu dipelihara. Rehat bukan tanda lemah. Seorang ibu yang cukup rehat akan lebih tenang dan ceria. Tidak salah sesekali memanjakan diri walau hanya dengan secawan kopi panas atau masa lima minit menyendiri.

Ibu juga tidak perlu memuaskan hati semua orang sepanjang masa. Letakkan sempadan yang sihat, terutamanya dalam hubungan dan beban tugas harian. Sama ada bersama suami, keluarga, sahabat atau komuniti, ibu juga berhak mempunyai ruang untuk berkongsi cerita dan rasa. Tahukah anda? Kadangkala satu pelukan atau kata “Saya faham” pun sudah cukup besar maknanya buat seorang ibu. Luangkan masa untuk dekat dengan Allah SWT. Doa seorang ibu itu sememangnya kuat, dan doa itu jugalah yang boleh menjadi kekuatan buat ibu. Menangislah di atas sejadah jika itu yang dapat melegakan hati ibu.

Ibu tidak perlu menanti orang lain untuk memuji. Lihatlah ke cermin dan katakan: “Aku dah buat yang terbaik”. Setiap peluh dan air mata itu bukti cinta yang tak ternilai. Kadang-kadang, kata – kata motivasi yang terungkap dari bibir ibu sendiri adalah terapi paling mujarab untuk dirinya.

Hari Ibu bukan sekadar tentang diraikan. Ia adalah hari untuk ibu mengingatkan diri bahawa dirinya juga berharga, penting, dan layak untuk bahagia. Sudah pasti hari ibu itu bukannya sehari namun setiap hari seperti mana ibu tidak pernah memilih hari untuk terus kuat menjaga keluarga di bahunya.

Kerana ibu yang kuat dan hebat bukanlah yang tidak pernah lelah, tetapi yang terus bertahan walau lelahnya tak pernah tamat.

Nurulisyazila Othaman
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here