Datuk Mohd. Zaid Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dicadangkan menggunakan pengaruh meluas beliau untuk meyakinkan Pas supaya tidak terlalu teokratik (berkiblatkan agama dalam dasar pemerintahan negara).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, Dr. Mahathir juga wajar menggunakan pengaruhnya untuk membenarkan lebih ramai teknokrat mengambil alih kepimpinan Pas.

Dengan cara itu, tambah beliau, Pas akan menjadi lebih bersedia untuk mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya dalam pilihan raya akan datang.

Dalam masa sama, Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen UMNO Kota Bharu turut mencadangkan Dr. Mahathir menggunakan pengaruhnya untuk membawa lebih ramai penyokong UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ini adalah perancangan besar Dr. Mahathir sejak awal (apatah lagi) Bersatu ketika ini juga masih belum benar-benar `bersatu’,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Zaid berkata, insipirasi untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi bukanlah satu prospek yang menarik buat Dr. Mahathir ketika negara sedang berpecah-belah dalam banyak perkara.

Semalam, Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri dua kali berkata, beliau akan memansuhkan hukuman berkaitan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) sekiranya kembali memegang jawatan itu.

Jelasnya, walaupun beliau tidak lagi berminat untuk menjadi Perdana Menteri, namun langkah itu adalah `perkara pertama’ yang akan dilakukan jika diberi peluang memimpin negara sekali lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here