NILAI – Seramai 10 pensyarah dari Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Melaka telah berjaya menamatkan dua program pensijilan eksekutif dalam bidang kewangan Islam yang ditawarkan oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sekali gus mencerminkan satu bentuk kerjasama strategik antara USIM dan MARA dalam memperkasa pembangunan kapasiti tenaga pengajar.
Para peserta menerima Market Research and Data Analytics for Islamic Finance Executive Certificate serta Islamic Fintech and Blockchain Executive Certificate dalam satu Majlis Penyerahan Sijil Eksekutif Kewangan Islam yang berlangsung di kampus USIM pada 17 April 2024 baru-baru ini.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan USIM dan MARA melalui KPM Bandar Melaka dalam memperkasa pendidikan kewangan Islam melalui pendekatan latihan berstruktur, berasaskan industri dan berteraskan teknologi semasa.
Menurut Dekan FEM USIM, Prof. Madya Dr. Syahidawati, program ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada para pensyarah MARA, tetapi juga merupakan satu langkah signifikan dalam mengembangkan pengaruh kewangan Islam ke peringkat lebih luas melalui pendidikan dan latihan profesional.
USIM komited untuk meneruskan lagi program seumpama ini bersama agensi lain di bawah MARA dan institusi pendidikan tinggi lain, demi menyokong aspirasi negara sebagai pusat kecemerlangan dalam kewangan Islam di peringkat serantau. – MalaysiaGazette
















