JOHOR BAHRU – Kira-kira 100,000 akaun pengguna di beberapa kawasan sekitar daerah ini terjejas akibat gangguan bekalan air susulan kerosakan pam-pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerosakan luar jangka itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya sejak petang semalam.
“Gangguan ini menjejaskan agihan air sebanyak 318 juta liter sehari (MLD) tidak dapat disalurkan kepada pengguna di beberapa kawasan.
“Sebagai langkah segera, pengolahan semula sumber air sedia ada telah dilaksanakan dan berjaya menyelamatkan kira-kira 11,000 akaun pengguna daripada terjejas.
“Akaun-akaun ini dijangka akan terus menerima bekalan air seperti biasa menjelang jam 7 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, ratusan pengguna melahirkan rasa tidak puas hati dalam akaun media sosial syarikat penyedia dan pengendali perkhidmatan bekalan air negeri, Ranhil SAJ, susulan mendakwa keputusan bekalan air sejak semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan dan setakat ini sudah mencapai 15 peratus kemajuan.
Jelas beliau, kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada pukul 7 pagi.
“Selepas itu, proses pemulihan bekalan akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan tekanan air kembali stabil dan disalurkan secara berperingkat ke kawasan terjejas,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sokongan tambahan, sebanyak 16 lori tangki air berkapasiti 9 meter padu (m³) dan 40m³ telah digerakkan ke lokasi-lokasi kritikal seperti hospital, pusat kesihatan dan kawasan tumpuan awam.
“Pihak kami amat kesal atas kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini.
“Segala usaha sedang diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan sepenuhnya,” katanya.- MalaysiaGazette
















