JOHOR BAHRU – Enam penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) nyaris maut selepas bas yang dinaiki terbakar di kawasan perhentian bas Jalan Lingkaran Ilmu, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Skudai di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan 1 Kamarulzaman Salleh berkata, kejadian berlaku pukul 10 pagi dalam kampus UTM tersebut.
“Semasa kejadian bas sedang bergerak dan terdapat enam penuntut dalam bas tersebut. Kemudian pemandu bas terdengar bunyi letupan di bahagian belakang sebelah kanan.
“Pemandu itu memberhentikan bas tersebut dan mendapati tayar belakang sebelah kanan telah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pemandu terbabit cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api namun tidak berjaya sebelum meminta bantuan pihak bomba.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.58 pagi.
“Enam anggota dibantu sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati bas itu sudah terbakar 40 peratus.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dan operasi tamat pukul 11.06 pagi,” ujarnya.
Sementara itu, UTM dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian berkenaan diberikan perhatian serius kerana melibatkan aspek keselamatan dalam kampus.
Pihak universiti juga sedang menjalankan siasatan dalaman dalam usaha mengenal pasti punca kejadian.
“Pihak universiti juga akan meneliti langkah-langkah pencegahan dan penambahbaikan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang,” jelas UTM. – MalaysiaGazette
















