Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Permohonan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adam Asmuni dibenarkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melucutkan pelbagai aset dan hartanya dua tahun lalu.

Hakim K Muniandy memutuskan bukti baharu berupa penyata akaun peribadi yang hanya ditemui pada awal tahun ini perlu dipertimbangkan dalam prosiding rayuan yang dijadual berlangsung pada 30 Jun 2025.

Peguambela Adam, Amirrul Jamaluddin menjelaskan, penyata akaun itu ditemui oleh adik lelaki anak guamnya pada Februari 2024 dan diserahkan kepada pasukan peguam pada bulan berikutnya.

“Penyata akaun ini sangat penting kerana ia mampu memberikan gambaran sebenar aliran kewangan pemohon, sekali gus berpotensi mencabar dapatan Hakim Mahkamah Sesyen yang sebelum ini menyatakan ketiadaan dokumen tersebut sebagai antara alasan utama untuk melucutkan harta anak guam saya,” katanya pada prosiding hari ini.

Amirul juga berkata, dokumen baharu itu berupaya menyokong kes anak guamnya berdasarkan imbangan kebarangkalian, prinsip penting dalam perundangan sivil.

Bagaimanapun pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizzat Amadan menegaskan, penyata tersebut sepatutnya dikemukakan semasa perbicaraan asal memandangkan pelbagai dokumen kewangan lain termasuk penyata cukai syarikat telahpun dibentangkan ketika itu.

“Sebagai pengusaha syarikat yang mengurus tender kerajaan bernilai jutaan ringgit adalah wajar beliau mempunyai sistem audit dan dokumentasi lengkap.

“Maka kegagalan mengemukakan penyata bank ini dari awal menimbulkan persoalan,” katanya.

Prosiding rayuan seterusnya ditetapkan pada 30 Jun depan.

Sebelum ini, pada awal Januari 2023, Adam dan isterinya, Lyiana Roslee ditahan polis dalam serbuan di kediaman mereka di Ampang yang membawa kepada penemuan pokok ganja, cecair ganja serta pelbagai aset mewah termasuk kereta, motosikal berkuasa tinggi, barangan kemas dan akaun pelaburan ASNB.

Kedua-dua mereka didakwa atas beberapa pertuduhan berkaitan dadah, namun pada Januari 2025, pendakwaan menarik balik kes terhadap Lyiana.

Adam pula mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki ganja dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta sebatan.

Mereka sebelum ini mengemukakan tuntutan pihak ketiga untuk mendapatkan semula barangan yang dirampas, namun pada Mei 2023, Mahkamah Sesyen hanya membenarkan sebahagian kecil wang tunai dipulangkan manakala baki wang dan kesemua barangan mewah disita oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast