KUALA LUMPUR – Sebanyak RM237,000 dikutip Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL) menerusi Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2025 hari ini.
Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, seramai 85 pembida menghadiri sesi lelongan itu antara jam 9.30 pagi tadi hingga jam 1.30 petang di Dewan Merpati, JPJWPKL.
“Sebanyak 124 kenderaan yang disita telah dilelong melibatkan 116 kenderaan boleh dilesenkan termasuk enam kenderaan klon, serta 16 buah kenderaan yang tidak boleh dilesenkan (sekerap). Kesemua kenderaan ini telah berjaya dilelong sepenuhnya.
“Kenderaan yang menerima bidaan tertinggi pada sesi ini adalah sebuah lori Tipper Mitsubishi Canter dengan harga RM27,000 manakala bidaan terendah adalah sebuah motosikal Modenas (sekerap) dengan harga RM200,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, sebanyak 85 naskhah buku penjualan lelong turut terjual pada harga RM100 setiap satu dengan kutipan bernilai RM8,500, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan hasil sepanjang lelangan siri itu adalah RM245,500.
Mengulas lanjut katanya, tempoh usia kenderaan yang ditawarkan itu bukan penentu kepada kelayakkan untuk dilelong, sebaliknya bergantung kepada proses pelucutan oleh mahkamah.
“Terdapat pelbagai jenis kenderaan yang disita hasil operasi harian dan operasi bersepadu JPJ dengan kenderaan berusia tahun 2021, dan ada juga yang lebih 20 tahun.
“Antara kesalahan utama pemilik kenderaan terbabit adalah tiada cukai jalan, tiada insurans serta tiada lesen memandu. Lelongan ini melibatkan 105 motosikal, 13 kereta dan enam lori grid.
“Selepas disita, pemilik dan pembiaya akan dimaklumkan untuk tampil menyelesaikan saman. Jika gagal hadir selepas tiga bulan, proses pelucuthakan akan dijalankan di mahkamah,” ujarnya.
Memandangkan sambutan itu menggalakkan, Hamid berkata, pihaknya akan menganjurkan sesi lelongan awam kali kedua dengan menambah kapasiti pembida.
“Kita melaksanakan lelongan awam ini setiap tahun sebanyak dua kali dan jika lokasi lebih luas sudah dikenal pasti akan dibuka kepada lebih ramai. Buat masa ini, dihadkan pembida kerana kekangan ruang dewan.” katanya. – MalaysiaGazette