JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor bangunan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tender membaik pulih jambatan di Yong Peng, empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Izwan Mohd Ali, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu Kebenaran Khas Menyertai Tender diluar Pengkhususan Berdaftar CE02 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Dokumen itu bagi tender membaik pulih jambatan di Jalan Kampung Paya, Yong Peng yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu ketika ia diserahkan kepada Majlis Daerah Yong Peng tersebut.
Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan itu di Majlis Daerah Yong Peng, Kilometer 1, Jalan Labis, Yong Peng, pada 27 April 2021.
Pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Faizul Kamarozaman manakala tertuduh diwakili peguam Siti Nadia Yahya.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan dikenakan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Siti Nadia memohon jaminan yang rendah iaitu sebanyak RM5,000 kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak berusia enam hingga 12 tahun.
Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 19 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette
Caption gambar: Mohd Izwan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menggunakan dokumen palsu
















