Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan Datuk Raymond Yap Wee Hin permohonan kebenaran merayu kepada mahkamah itu.

Dalam keputusannya, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Swee Seng sebulat suara mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Permohonan kebenaran itu difailkan oleh Yap berikutan keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan, pada 27 November 2024, yang mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa beliau bertanggungjawab ke atas dagangan orang dalam saham Patimas Computers Berhad (Patimas) pada 2012.

Dalam tindakan sivil yang difailkan pada 2020, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa Yap telah melanggar seksyen 188(2)(a) dan (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) apabila beliau melupuskan sejumlah 43.8 juta saham Patimas yang dipegang oleh Law Siew Ngoh, bekas Pengarah Urusan Patimas, antara Jun dan Julai 2012.

Pada masa itu, Yap memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan audit pertanyaan dan isu mengenai transaksi yang mencurigakan antara Patimas dan penghutang utamanya.

Perkara itu telah dibangkitkan dan dibincangkan oleh juruaudit luar Patimas semasa mesyuarat dengan pengurusan syarikat.

Pada 31 Julai 2012, Lembaga Pengarah Patimas mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat tidak akan dapat mengeluarkan Penyata Kewangan Beraudit Tahunan syarikat bagi tempoh kewangan dari 1 Januari 2011 hingga 31 Mac 2012 kerana tidak dapat diselesaikan penemuan/pertanyaan audit yang penting.

Di Mahkamah Tinggi, selepas perbicaraan penuh, memerintahkan Yap membayar kepada SC satu disgorgement sebanyak RM3.28 juta, iaitu bersamaan tiga kali ganda kerugian yang dielakkan olehnya akibat daripada pelanggaran itu, dan penalti sivil sebanyak RM1 juta.

Yap juga dilarang dilantik sebagai pengarah dalam mana-mana syarikat tersenarai awam untuk tempoh lima tahun, berkuat kuasa dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi pada 7 April 2022.

Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan itu mengarahkan beliau membayar kos sebanyak RM30,000 kepada SC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast