PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 menyaksikan dinamika dalaman yang menarik perhatian ramai bukan hanya kerana perebutan jawatan, tetapi kerana naratif yang membentuk masa depan parti reformasi ini.
Di sebalik semangat demokrasi dalaman, persaingan utama untuk jawatan Timbalan Presiden kali ini menampilkan dua figura besar – penyandang jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli, dan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.
Menurut sumber dalaman tertinggi parti, trend sokongan akar umbi kali ini kelihatan lebih cenderung ke arah Nurul Izzah, yang mengetengahkan pendekatan ‘Damai’ berbanding gaya ‘Hiruk’ dikaitkan dengan Rafizi.
“Calon Timbalan Presiden Nurul Izzah masih jauh ke depan. Para perwakilan tidak melihat beliau sebagai ‘anak Presiden’ sebaliknya sebagai pejuang reformasi yang konsisten sejak era penubuhan parti,” kata sumber itu.
Tambahnya, pendekatan Nurul Izzah yang lembut, inklusif dan menenangkan berjaya memikat hati akar umbi yang mahukan kestabilan serta pengukuhan dalaman parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Rafizi, meskipun terkenal dengan kebolehan strategi dan keberanian berpolitik, dikatakan semakin dipersoal pendekatannya yang dianggap terlalu konfrontasional, sekali gus menyebabkan sebahagian perwakilan beralih arah.
Amirudin mendahului calon naib presiden
Bagi jawatan Naib Presiden, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari muncul sebagai calon paling kukuh dan pilihan nombor satu.
Meskipun sering dikaitkan sebagai ‘kartel’, warisan politik era Datuk Seri Azmin Ali, Amirudin berjaya menepis label tersebut dengan prestasi cemerlang di Selangor serta pengaruh meluas di negeri-negeri lain.
“Beliau bukan sahaja menyelaras kerajaan negeri dengan baik, tetapi juga membantu negeri-negeri lain mengukuhkan jentera parti. Itu yang melonjakkan beliau ke depan,” jelas sumber sama.

Calon kedua paling ke depan dan diyakini akan menang jawatan naib presiden ialah, Datuk Seri R Ramanan.
“Ramanan sering mendapat ‘kritikan’ Rafizi yang anggap Ahli Parlimen Sungai Buloh itu ‘naik’ terlalu cepat dalam parti. Tetapi hakikatnya Ramanan memang berjaya menangi hati akar umbi hingga yang di atas.
“Peranan Ramanan dalam menaikkan taraf masyarakat India di negara ini melalui jawatan Pengerusi MITRA sebelum bergelar Timbalan juga mendapat pujian dalam masa singkat,” katanya.

Calon ketiga yang diyakini menang ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminudin Harun.
Manakala calon nombor empat, pertandingan difahamkan ‘sengit’ antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, diterima pelbagai lapisan anggota dan Sim Tze Tzin, bekas Timbalan Menteri yang juga ikon progresif dalam sayap teknokratik parti.

Saingan Sengit MPP: 10 teratas
Dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), wajah-wajah muda dan teknokrat mula mendominasi carta.
Calon popular dan sedang mara ke depan di tangga pertama ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di ikuti Exco Negeri Pahang, Sim Chon Siang yang juga merupakan Adun Teruntum.

Nombor tiga popular pula, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, nombor empat pula, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chang Ming Kai.
Sementara itu, di tangga kelima ‘top 5’ ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad yang juga Pengarah Strategik Keadilan Selangor.
Tidak ketinggalan, wakil rakyat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Goh Choon Aik, ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi, dan ADUN Sentosa, Gunaraj George serta Senator Siti Aisyah Shaik Ismail, turut disebut-sebut dalam senarai calon berpotensi besar untuk memperkukuh kepimpinan pusat.

Difahamkan pemilihan ini bukan hanya tentang individu yang bakal menduduki kerusi-kerusi strategik parti tetapi tentang hala tuju reformasi lebih besar lebih besar mendepani PRU-16.
Adakah parti akan terus dipacu dengan pendekatan strategik konfrontasi atau beralih ke arah politik yang lebih damai dan inklusif?
Apa yang pasti, kebangkitan generasi baru kepimpinan serta penyertaan tokoh-tokoh pelbagai latar belakang menjadikan pemilihan ini antara yang paling penting dalam sejarah Keadilan pasca PRU15. -MalaysiaGazette

















kita kena pastilan izzah menang. izzah…izzah
..izzah