ISKANDAR PUTERI – Polis memberkas 19 lelaki termasuk remaja berusia 13 tahun kerana terlibat dalam pergaduhan menggunakan parang dan rotan sehingga cedera di sebuah restoran di Taman Mutiara Mas, Skudai, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian tersebut dilaporkan seorang mangsa iaitu wanita tempatan berusia 20 tahun.
“Wanita berkenaan melaporkan kejadian itu berlaku pukul 12.40 tengah malam Sabtu lalu semasa dia berada di restoran tersebut bersama-sama rakannya iaitu tiga lelaki tempatan.
“Dia mendakwa kemudian diserang dan dipukul sekumpulan lelaki tempatan bersenjatakan parang dan rotan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat antara pukul 5 petang Sabtu hingga 4 pagi Ahad, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menangkap 19 lelaki tempatan.
Jelasnya, semua suspek berusia 13 hingga 46 tahun diberkas dalam Op Cantas dan hasil semakan mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod lampau.
Hasil ujian air kencing pula katanya, negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
“Kejadian melibatkan serangan dan pergaduhan antara dua kumpulan itu dipercayai bermotifkan dendam,” ujarnya.
Semua suspek katanya, ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari bermula Ahad hingga 24 Mei ini untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette