ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 104 projek pengurusan banjir dengan peruntukan RM106.2 juta dirancang untuk dilaksana di 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM53 juta diperuntuk untuk 126 projek pada 2024 dan RM52 juta untuk 123 projek pada 2023.
“Tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mempunyai antara projek yang tinggi.
“Kerajaan negeri berhasrat mengurangkan sehingga 50 peratus daripada kawasan hotspot banjir di Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri dalam tempoh beberapa tahun ini.
“Kita perlu akui masalah banjir kilat tidak dapat diatasi sepenuhnya hanya dalam tempoh satu atau dua tahun, sebaliknya memerlukan perancangan teliti dan kerjasama semua pihak terlibat,” katanya dalam sidang akhbar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sutan Ismail di sini hari ini.
Kata Mohd Jafni, antara usaha mengurangkan banjir termasuk kerja naik taraf yang akan dilaksana dengan membina empangan kecil di parit monsun dan menaikkan tembok parit monsun selain meluaskan saliran air di kawasan perumahan.
Menurutnya, antara punca banjir sebelum ini adalah pembangunan hartanah baharu yang dibuat tidak mengikut spesifikasi keadaan taburan hujan semasa.
Keadaan itu, katanya, dikenal pasti menjadi punca berlakunya banjir kilat di kawasan-kawasan baharu di Johor sejak tiga tahun lalu.
Justeru pihaknya kini dalam usaha mengadakan bengkel untuk mengkaji semula keperluan terutama pembinaan kolam takungan dan parit monsun diperbesarkan mengikut kesesuaian taburan hujan semasa.
Katanya, ketika ini pembinaan hartanah baharu menggunakan spesifikasi 10 hingga 15 tahun dahulu bagi pembinaan kolam takungan dan parit monsun.
“Contoh parit monsun yang dikhaskan dan kolam takungan untuk pembinaan mengikut spesifikasi 10 hingga 15 tahun lepas.
“Sebab itu kita di peringkat negeri akan adakan bengkel utk kaji semula spesifikasi pembinaan kolam takungan dan parit monsun yang ada kini sesuai lagi tak dengan jumlah hujan yang sekarang, iaitu lima atau enam kali ganda daripada jumlah biasa.
“Itu sangat penting sebab bila pembangunan baru dibuat oleh pemaju dia kena sediakan kolam satu setengah kali ganda. Jadi ia akan kurangkan risiko banjir pada taman perumahan atau kampung sebelah.
“Kita dapati inilah antara punca-punca kawasan yang dahulunya tidak banjir tetapi sekarang berdepan dengan banjir,” katanya.- MalaysiaGazette















