JOHOR BAHRU – Datuk Seri Rafizi Ramli secara berseloroh mendakwa akan diserang sakit jantung sekiranya diisytiharkan menang bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu ini.
Menurutnya yang akan mempertahankan jawatan itu menentang Nurul Izzah Anwar, beliau sudah tahu akan kalah kerana semuanya sudah ‘atur’ bagi pemilihan jawatan tersebut pada kali ini.
“Walaupun kempennya berjalan baik, sambutannya bagus, tengok pula komen natizen dan anggota parti yang mana semuanya sokong 80 ke 90 peratus menyokong. Tetapi tengoklah jika saya menang, ‘jem’ saya.
“Sebab saya tahu, saya tidak akan menang, saya bukan bukanlah bodoh. Saya bukan budak baru, saya dalam politik ini dari tahun 1999. Banyak pemilihan parti sudah saya lalui.
“Kalau tiba-tiba saya menang, silap-silap lemah jantung saya. Sebab kalau saya tahu begini caranya sudah disusun dan sebagainya, isyaratnya jelas saya akan kalah. Saya tidak ada masalah,” katanya ketika berucap Jelajah Hiruk di New York Hotel di sini malam ini.
Beliau berkata, kekalahan bukan berpunca daripada kurangnya sokongan, sebaliknya disebabkan sistem yang didakwa bermasalah.
Menurutnya, berdasarkan culaan sokongan di peringkat cabang, beliau yakin mampu mempertahankan jawatan tersebut.
“Itu sebab dari awal saya beritahu, korang (penyokong yang datang ceramah beliau), korang kena penggal kepala, sanggup atau tidak,” katanya.- MalaysiaGazette