KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan reman dua bekas pegawai badan berkanun disyaki bersubahat menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan pembayaran dividen berjumlah kira-kira RM180,000.

Perintah reman selama empat hari sehingga 25 Mei 2025 terhadap seorang suspek wanita dan seorang suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an telah dikeluarkan Majistret Nurul Azuain Mohd Talhah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek telah ditahan secara berasingan kira-kira antara jam 11 pagi dan 3 petang semalan di Perak dan Terengganu sebelum dibawa ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2023 yang melibatkan tuntutan bayaran dividen berjumlah kira-kira RM180,000.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai menerima pembayaran dividen tersebut melalui akaun bank milik pasangan kedua-dua suspek yang merupakan penama tidak layak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast