GAZA – Benjamin Netanyahu mengumumkan, Israel ‘mungkin’ sudah berjaya membunuh pemimpin Hamas, Mohamed Sinwar.
Menurut Perdana Menteri Israel itu, tenteranya telah berjaya menumpaskan puluhan ribu anggota kumpulan Hamas termasuk pemimpin mereka.
“Kami telah menumpaskan puluhan ribu pengganas, kami menghapuskan pemimpin seperti Deif, Haniyeh, Yahya Sinwar dan nampaknya juga Mohammed Sinwar.
“Pasukan kami kini menguasai semakin banyak wilayah di Gaza. Pada akhir operasi, seluruh kawasan Genting Gaza akan berada di bawah kawalan keselamatan Israel.
“Saya bersedia menamatkan perang dengan syarat yang jelas untuk menjamin keselamatan Israel,” katanya semasa sidang media, semalam.
Untuk rekod, Mohamed adalah ketua semasa kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza.
Beliau mengambil alih peranan itu daripada abangnya, Yahya Sinwar yang terbunuh pada Oktober 2024 akibat serangan tentera Israel.
Dalam pada itu, Netanyahu menuduh pihak yang menggesa Israel menghentikan perang Gaza sebagai pihak yang mahu melihat Hamas terus berkuasa.
Beliau meletakkan syarat supaya semua tebusan dikembalikan, Hamas letak senjata, kepimpinan mereka digulingkan dan Gaza berada bawah kawalan Israel sepenuhnya selepas perang.
“Mana-mana pihak yang menggesa kami menghentikan perang sebelum matlamat ini tercapai, sebenarnya mahu Hamas terus berkuasa,” tegasnya.
Pada Ahad lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan pelancaran operasi darat besar-besaran di Gaza yang dinamakan ‘Operasi Gideon’s Chariots’.
Pengumuman itu dibuat ketika IDF meningkatkan serangan udara di Gaza, termasuk serangan pada 13 Mei berhampiran Khan Younis di selatan Gaza yang menyasarkan pemimpin Hamas.
Menurut kenyataan IDF, lebih 670 sasaran berkaitan Hamas telah diserang dan puluhan anggotanya dihapuskan.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa tentera IDF telah melumpuhkan tapak infrastruktur pengganas di atas dan bawah tanah, dan kini sedang ditempatkan di lokasi strategik dalam Gaza.
Kabinet keselamatan Netanyahu meluluskan pelan operasi itu pada 5 Mei lalu, yang menurut jurucakap IDF, akan merangkumi serangan menyeluruh termasuk pemindahan majoriti penduduk Semenanjung Gaza.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pula berkata pada 7 Mei bahawa tentera Israel merancang untuk kekal berada di Gaza selepas operasi tersebut selesai. – AGENSI
















