Calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar berucap pada Grand Finale Bersama membina parti ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hotel KSL, Johor Bahru. Foto AIZAT ZAINAL, 22 MEI 2025.

JOHOR BAHRU – Nurul Izzah Anwar berharap, menang atau kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menjejaskan persahabatannya dengan Datuk Seri Rafizi Ramli yang sudah lama dikenali beliau.

“Rafizi sahabat saya bukan dulu sahaja tetapi sekarang dan sampai bila-bila. Mungkin mekanisme dan pendekatan (semasa berkempen) berbeza tapi kamu overcome your ego, kita boleh minta orang lain buat tapi kita kena buat dulu,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Beliau berkata demikian pada Grand Finale Bersama Membina Parti Kita Bersama Nurul Izzah dan Datuk Seri Amirudin Shaari yang turut dihadiri oleh  Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.

Nurul Izzah berkata, apabila dia bersetuju untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, beliau sudah bersedia dengan tanggungjawab yang sangat berat itu.

Beliau juga tidak ambil mudah amanah itu yang hadir bersama-sama kesedihan dan bertanding atas dasar persahabatan.

Nurul Izzah Anwar bersama Calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dan calon Ketua AMK, hadir pada Grand Finale Bersama Membina Parti Kita di Hotel KSL, Johor Bahru. Foto AIZAT ZAINAL, 22 MEI 2025.

“Saya niat ikhlas bertanding kali ini. Dulu saya beri peluang, jadi pengikut dan beri peluang. Kita ikhlas, kita berani tidak membuta tuli.

“Bila kita letakkan nama kita, kita kena bersedia. Kita kena tanggung tanggungjawab yang maha berat ini. Ini adalah satu prasyarat yang tak boleh kita ambil mudah,” katanya.

Nurul Izzah menyeru agar semangat kebersamaan terus dikekalkan dalam kalangan ahli dan perwakilan parti pada pemilihan kali ini.

Dalam pada itu, beliau  mengambil positif dakwaan Rafizi bahawa pemilihan PKR 2025 yang berlangung kali ini sudah ‘diaturkan’.

Nurul Izzah Anwar kelihatan sebak pada Grand Finale Bersama Membina Parti Kita di Hotel KSL, Johor Bahru. Foto AIZAT ZAINAL, 22 MEI 2025.

Sehubungan itu, katanya, pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak boleh mengabaikan dakwaan tersebut yang dibuat Rafizi.

“Saya faham beberapa dakwaan dan laporan kepada pihak JPP yang ada audit antarabangsa dilakukan, bermakna biar pihak JPP rujuk proses (prosedur JPP).

“Setiap pemilihan ada percakaran namun saya ambil positif  kita boleh sahaja perbaiki, sudah tentu. Setiap pemilihan melibatkan beberapa aduan itu kita ambil serius.

“Apa yang penting setiap perwakilan (ada dakwaan) berdasarkan cerita. I don’t want to add on, cuma minta doa yang baik-baik sahaja, kita banyak cabaran di luar,” katanya.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, pemilihan kali sudah diaturkan dan mendakwa pelantikan vendor yang mengendalikan sistem pemilihan parti itu tidak dibincangkan terlebih dahulu.

Menteri Ekonomi itu mendakwa, vendor sistem pemilihan PKR dilantik secara senyap pada Disember 2024 tanpa dibawa ke Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat untuk penilaian bersama.

Sistem pemilihan yang digunakan menimbulkan kekeliruan dan lebih 280 aduan diterima, termasuk isu teknikal seperti nama calon yang hilang, menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan calon.

Rafizi telah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Dr Zaliha Mustafa, yang mengakui kurang faham tentang sistem tersebut.

Beliau juga mendakwa  memiliki bukti surat pelantikan vendor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. depan cakap lain belakang dia buat lain. biasalah tikam belakang rafizi jangan minum madu beracun. elok awak masuk pas boleh jadi menteri besar terengganu.

Comments are closed.