ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor dalam proses mendapatkan tangki dari daerah lain di negeri ini bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di Johor Bahru ketika ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri juga akan turut mendapatkan tangki air dari negeri-negeri lain bagi memenuhi keperluan mendesak ketika ini.
Jelasnya, itu merupakan tindakan susulan bagi masalah enam pam rosak di daerah Johor Bahru yang sepatutnya selesai semalam namun masih belum pulih sehingga kini.
“Ranhill SAJ memaklumkan mengalami masalah enam pam yang rosak untuk daerah Johor Bahru yang menyebabkan ratusan ribu rumah tidak mempunyai bekalan air ketika ini.
“Masalahnya di Johor Bahru ini, tangki air ada tetapi bekalan air tidak ada. Jadi, air tak dapat disalurkan ke kawasan perumahan.
“Jadi, kita tengah dapatkan bantuan daripada daerah lain dan InsyaAllah dari negeri lain utk dihantar ke setiap kawasan perumahan Johor Bahru yang terlibat,” katanya sebelum bermula persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Semalam, portal ini melaporkan kira-kira 100,000 akaun pengguna di beberapa kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air akibat kerosakan luar jangka pada pam-pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, kerosakan itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya pada petang kelmarin.
Beliau berkata, gangguan itu mengakibatkan agihan air kira-kira 318 juta liter sehari (MLD) terhenti dan tidak dapat disalurkan kepada pengguna di beberapa kawasan.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, difahamkan sepatutnya masalah ini sudah selesaikan semalam tapi malangnya disebabkan isu teknikal belum dapat diatasi.
“Saya telah mengarahkan satu mesyuarat krisis kecemasan diadakan pada pagi juga ini bagi memastikan pam ini dibaik pulih dalam kadar segera.
“Malah, kita juga akan membekalkan air mineral sebanyak mungkin supaya memastikan bekalan air minuman mencukupi untuk setiap rumah di kawasan Johor Bahru. Doakan agar ini kita dapat selesai secara bersama dengan segera,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















