Gangguan bekalan air susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor tiga hari lalu dijadual pulih sepenuhnya lewat malam hari ini.

JOHOR BAHRU – Gangguan bekalan air susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor tiga hari lalu dijadual pulih sepenuhnya lewat malam hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia kerana kesemua enam pam air di LRA Sungai Johor yang mengalami kerosakkan sudah diperbaiki.

“Dalam kerajaan negeri fokus untuk membangunkan negeri, perlu juga memberi tumpuan dari segi intrastruktur asas, saya telah laporkan kepada YAB (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita di Johor kadang-kadang ada isu air.

“Di daerah Johor Bahru sudah tiga hari berlaku gangguan bekalan air, enam pam air rosak tapi semuanya sudah diperbaiki.

“Insya-Allah akhir malam ini semua rumah yang terjejas akan mendapat air yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis perasmian Program Madani Rakyat (PMR) dan Sambutan Hari Belia Negara di Pusat Beli-Belah Toppen di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan program tersebut.

Turut ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Pada Rabu lalu, kira-kira 100,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru terjejas susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke LRA Sungai Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, kerosakan itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya sejak petang Selasa.

Beliau berkata, gangguan itu mengakibatkan 318 juta liter sehari (MLD) tidak dapat diagihkan kepada pengguna di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, Onn Hafiz pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, semalam memaklumkan, kerajaan negeri dalam proses mendapatkan bantuan tangki air dari daerah lain di Johor serta negeri lain bagi mengatasi krisis gangguan bekalan air yang melanda Johor Bahru.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast