KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap keputusan untuk mengklasifikasikan semula kes kematian Teoh Beng Hock sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyifatkan keputusan itu sebagai satu tamparan hebat kepada keluarga mendiang yang sudah menanti keadilan selama lebih 15 tahun.
Beliau turut mempersoalkan janji yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini berikrar secara terbuka untuk membela nasib keluarga Beng Hock.
Beliau mendesak Perdana Menteri tampil memohon maaf secara terbuka kerana gagal menunaikan janji tersebut.
“Mendiang Teoh Beng Hock pernah dijadikan bahan kempen oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sewaktu pilihan raya. Kini, setelah menjadi kerajaan, mereka gagal memberikan jawapan dan keadilan. Ini sesuatu yang amat mengecewakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa pemimpin PH, khususnya parti DAP tampil memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia dan keluarga Beng Hock mengenai kegagalan mereka menunaikan janji.
“Penjelasan ini perlu dibuat dengan jujur dan ikhlas, bukan sekadar untuk menjaga kepentingan politik,” ujarnya.
Tambah beliau, Gerakan tetap dengan pendirian kebenaran dalam kes Beng Hock mesti dibongkar.
Tegasnya, kematian seorang rakyat tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan yang adil.
Dominic turut menyentuh kes lain yang masih belum diselesaikan seperti kehilangan Pastor Raymond Koh dan mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Bebas melibatkan pihak ketiga bagi menyemak semula siasatan polis.
Beliau menyelar sikap pemimpin PH yang hanya mengungkit isu Beng Hock setiap kali musim pilihan raya, namun gagal menunaikan janji apabila diberi peluang memerintah.
“Ini bukti jelas laungan mereka tentang reformasi dan keadilan hanya tinggal retorik semata-mata,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dominc menempelak pemimpin DAP yang pernah berikrar akan membela Beng Hock termasuk ucapan Lim Guan Eng semasa ulang tahun kesembilan kematian Teoh pada 2018.
“Rakyat perlu buka mata. Adakah kerajaan yang gagal menunaikan janji wajar terus diberi kepercayaan?” soal beliau. – MalaysiaGazette
















