Para Jemaah menunaikan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Putra, Putrajaya. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan tiga masjid utama di bawah seliaannya untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti dan doa untuk rakyat Palestin yang sedang berdepan krisis kemanusiaan berterusan.

Ketiga-tiga masjid berkenaan iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, arahan itu adalah sebagai manifestasi sokongan dan simpati terhadap penderitaan yang dialami rakyat Palestin di Gaza akibat kekejaman rejim Zionis Israel yang tidak berperikemanusiaan.

“Marilah bersama-sama menzahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin di bumi Gaza yang saban hari dizalimi serta diserang dengan kejam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, JAKIM kekal konsisten dalam menyokong pendirian Kerajaan Madani yang tegas membela kedaulatan negara umat Islam, khususnya Palestin dan terus membantu rakyatnya dalam pelbagai bentuk.

Justeru, umat Islam di seluruh negara diseru untuk bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT agar melindungi saudara seagama di sana dan mendoakan pembebasan bumi al-Quds.

“Semoga dengan usaha sekecil ini, ia akan dipandang tinggi di sisi Allah SWT,” tambahnya lagi.

Solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah ini dijangka melibatkan penyertaan umat Islam secara meluas di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha murni memperkukuhkan solidariti ummah sejagat. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast