KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan menggesa akar umbi parti tidak lagi tunduk kepada budaya politik berasaskan kelompok, sebaliknya membuat pilihan berdasarkan keupayaan dan integriti calon.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Hulu Selangor berkata, sudah tiba masanya ahli parti bangkit dan menolak kepimpinan yang hanya bergantung kepada ‘tali hayat’ individu tertentu.
“Jika kita terus bergantung kepada satu atau dua pasukan semata-mata, maka parti ini tidak ubah seperti OKU (orang kurang upaya) politik – lumpuh, tidak bermaya, dan hanya menunggu ihsan orang lain untuk bergerak,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr Sathia, pemilihan kali ini adalah peluang terbaik untuk membawa perubahan sebenar dalam parti dengan memilih pemimpin yang berdikari dan memperjuangkan nasib rakyat tanpa menjadi boneka kepada mana-mana kelompok.
“Pilihlah mereka yang tajam fikiran, ikhlas perjuangannya dan benar-benar membawa suara rakyat – bukan calon tempelan yang hanya mengikut telunjuk kumpulan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa parti besar seperti PKR tidak boleh terus bergantung kepada bayang-bayang segelintir individu, sebaliknya memerlukan barisan kepimpinan yang berani, berprinsip dan progresif.
Kongres Nasional PKR 2024/2025 bermula hari ini dengan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita oleh Setiausaha Agung Dr Fuziah Salleh.
Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor malam, ini.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat akan diadakan hari ini merangkumi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, bermula 8 pagi hingga 5 petang. – MalaysiaGazette
















