SEGAMAT – Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mengelak anjing melintas sebelum melanggar lori di Kilometer 56 Jalan Muar-Segamat di sini semalam.
Kemalangan tersebut mengorbankan penumpang SUV berkenaan, David Sussax, 37, beralamat di Taman Mida manakala pemandu yang juga isterinya, P Vanitha, 36, dari Taman Yayasan di sini cedera.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.30 petang melibatkan SUV jenis Nissan X-Trail dinaiki pasangan tersebut dengan lori jenis Scania.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah SUV dipandu wanita tempatan itu bersama-sama lelaki tersebut sedang bergerak dari arah Muar ke arah Segamat cuba mengelak anjing yang melintas dari kanan jalan.
“SUV berkenaan kemudian hilang kawalan dan melanggar belakang lori tersebut. Akibat pelanggaran itu, pemandunya mengalami cedera parah di bahagian kaki dan menerima rawatan di Hospital Daerah Segamat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, penumpang lelaki itu mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lori berkenaan yang berusia 46 tahun pula katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan lanjut masih diteruskan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini boleh menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan 1 Zuraimi Haron berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas berkenaan pada pukul 5.52 petang.
Katanya, satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan enam anggota dihantar ke tempat kejadian dengan jarak 24 kilometer.
“Mangsa lelaki tersepit di tempat duduk SUV tersebut sementara isterinya mengalami kecederaan, tetapi tidak tersepit,” katanya.
Tambahnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa tersepit, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.- MalaysiaGazette
















