Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi Pendengaran permohonan AGC berhubung perintah larangan bersuara (gag order) berkaitan kewujudan titah adendum di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memfailkan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh agar beliau dipenjarakan kerana menghina mahkamah berkaitan titah adendum.

Permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap hakim Mahkamah Persekutuan itu difailkan melalui Tetuan Shafee & Co., Rabu lalu.

Ahmad Terrirudin Mohd Salleh

Firma guaman itu melalu kenyataan hari ini berkata, sejak Januari lalu, pihaknya memaklumkan telah mendapat arahan bekas Perdana Menteri untuk memfailkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.

Ujar kenyataan itu, firma berkenaan melalui surat bertarikh 20 Januari lalu menggesa bekas Peguam Negara memberikan sebab mengapa beliau tidak patut dikenakan tindakan penghinaan mahkamah berhubung titah adendum.

Katanya, pada 21 April lalu, firma itu telah mengeluarkan kenyataan, pihaknya mempertimbangkan cadangan Peguam Negara (kini) supaya ia menilai semula hasrat untuk memulakan tindakan penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.

“Namun, Datuk Seri Najib tetap memutuskan untuk meneruskan tindakan tersebut dan telah mengarahkan kami untuk berbuat demikian.

“Kami menerima banyak pertanyaan daripada pihak media sama ada tindakan penghinaan tersebut telah difailkan.

“Kenyataan media ini dikeluarkan khusus untuk menjawab kebimbangan pihak media mengenai perkembangan perkara ini serta untuk menjawab segala pertanyaan yang telah dikemukakan,” ujar kenyataan itu.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (tengah) bercakap kepasa wartawan ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025. (GAMBAR FAIL)

Menurutnya, asas dan latar belakang permohonan untuk memulakan prosiding penghinaan adalah berdasarkan kepada salinan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024, yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah diserahkan kepada anak guam melalui anaknya, Datuk Mohamad Nizar.

Ujar kenyataan itu, melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi telah mengesahkan ketulenan dan kesahihan
titah adendum tersebut.

“Kandungan dokumen-dokumen tersebut bukan sahaja mengesahkan kewujudan titah
adendum dan titah diraja berkenaan penahanan di rumah.

“Ia malah turut mendedahkan titah adendum tersebut telah secara langsung ditujukan kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara pada masa tersebut, untuk melaksanakan titah adendum itu.

“Ini menunjukkan beliau mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan dan kandungan titah berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya lagi, walaupun Ahmad Terrirudin mempunyai pengetahuan ini, Najib menegaskan bahawa bekas Peguam Negara semasa memegang jawatan tersebut didakwa telah mengarahkan pegawai-pegawainya supaya mengelirukan Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan untuk memulakan semakan kehakiman.

Ujar kenyataan itu, ia menyatakan bahawa dakwaan Najib mengenai kewujudan titah adendum hanyalah satu spekulasi, bersifat `memancing maklumat’ dan berasaskan keterangan dengar cakap, walaupun beliau mengetahui bahawa kenyataan tersebut adalah nyata tidak benar.

Oleh yang demikian, menurut kenyataan itu, bekas Perdana Menteri berpendapat bahawa sebagai seorang penjawat awam, bekas Peguam Negara mempunyai kewajipan terus-terang (duty of candour) kepada Mahkamah.

Ujarnya, perundangan Malaysia dan antarabangsa, termasuk keputusan-keputusan terkini Mahkamah Persekutuan jelas menyatakan bahawa Kerajaan wajib mengemukakan semua fakta (dan dokumen) yang relevan kepada mahkamah dalam sebarang prosiding semakan kehakiman.

Ujarnya, kegagalan sengaja untuk berbuat demikian akan menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan malah merupakan satu halangan terhadap keadilan itu sendiri.

“Anak guam kami percaya bahawa dengan memilih untuk mengelirukan Mahkamah Tinggi, bekas Peguam Negara telah mencemarkan nama baik institusi kehakiman dan Tindakan tersebut wajar dikenakan hukuman yang serius oleh Mahkamah.

“Memandangkan bekas Peguam Negara kini memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, adalah amat penting beliau diberikan peluang untuk menjawab segala dakwaan serius ini,” ujarnya.

“Kami mengiktiraf sensitiviti prosiding ini dan menyeru semua pihak serta pemerhati untuk tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya membenarkan mahkamah menentukan perkara ini mengikut proses keadilan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast