Tapak tanam semula karang di perairan pulau Bidong.

 

Oleh: Amirul Salam Hasan

TERLETAK kira-kira 45 minit perjalanan bot dari jeti Merang, Terengganu, Pulau Bidong bukan sekadar pulau biasa di Laut China Selatan. Ia merupakan sebuah lokasi yang menyimpan warisan sejarah penting, mempunyai terumbu karang yang indah lagi memukau serta menjadi tapak kajian eksklusif bagi pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Nama Pulau Bidong sering dikaitkan dengan kisah pelarian Vietnam atau lebih dikenali sebagai Boat People. Selepas Perang Vietnam pada tahun 1975, ribuan pelarian melarikan diri ke negara-negara lain termasuk Malaysia.

Pada tahun 1978, Pulau Bidong dijadikan penempatan rasmi oleh kerajaan Malaysia dan UNHCR. Dalam masa singkat, pulau kecil ini pernah menampung lebih 40,000 pelarian pada satu-satu masa menjadikannya salah satu penempatan pelarian paling padat dalam sejarah moden.

Hari ini, kesan sejarah ini masih boleh dilihat melalui rumah ibadat lama, kesan bangunan tinggal, tanah perkuburan dan tapak memorial yang menjadi peringatan kepada perjuangan dan harapan mereka yang pernah tinggal di sini.

Batu karang yang canti sedia untuk ditatap oleh penyelam skuba.

Selain nilai sejarah, Pulau Bidong turut memukau dengan kekayaan ekosistem marin. Oleh kerana pulau ini tiada penempatan manusia selepas perpindahan pelarian Vietnam, keunikan serta keindahan pesisir pantai seolah tidak pernah terusik. Air laut yang jernih dan cetek memudahkan pengunjung melihat karang-karang cantik, pelbagai spesies ikan serta hidupan laut lain seperti penyu, tapak sulaiman dan rumpai laut.

Bagi penggemar aktiviti snorkeling atau selam skuba, pulau ini adalah salah satu destinasi yang mungkin memberi pengalaman yang tiada ditawarkan di tapak selam yang lain. Terumbu karangnya sihat dan berwarna-warni, menjadikan setiap selaman satu pengalaman yang mempesonakan.

Bagi pelajar Sains Marin UMT, Pulau Bidong bukan sekadar lokasi lawatan, ia adalah tapak kajian lapangan yang penting. UMT menjadikan pulau ini sebagai salah satu pusat pembelajaran luar kelas yang eksklusif. Di sini, para pelajar dan penyelidik dapat menjalankan kajian tentang terumbu karang, perikanan, oseanografi dan ekologi laut.

Bukan sekadar itu, Pulau Bidong diibaratkan sebuah makmal alami yang digunakan oleh penyelidik dan pelajar UMT. Pelajar juga berpeluang melakukan kajian jangka panjang mengenai pemuliharaan laut, perubahan iklim dan impak aktiviti manusia terhadap ekosistem marin. Pulau Bidong menjadi tempat yang ideal untuk mereka membina kemahiran saintifik dan meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam.

Antara keunikan lain yang terdapat di Pulau Bidong, UMT telah mewujudkan galeri bawah air selain menjadikan perairan Pulau Bidong sebagai tapak tanam semula batu karang melalui pelbagai program libat sama antara UMT dan agensi korporat. UMT sebagai sebuah universiti berfokus marin amat menitikberatkan aspek pemuliharaan ekosistem alam khususnya marin dalam usaha mendepani cabaran isu semasa seperti pemanasan global yang turut menjadi agenda dunia sepertimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Mampan (SDG).

Lebih menarik, sebanyak sebelas arca monumen negara ASEAN turut diletakkan di Galeri Bawah Air yang dikenali sebagai ‘The 1st ASEAN Underwater Mini Landmark’. Program penurunan arca-arca itu sebagai simbolik kepada penganjuran ASEAN Seminar on The Preservation and Protection of Underwater Cultural Heritage.

Dengan kekayaan khazanah sejarah serta penambahbaikan khususnya di bahagian dasar laut, Pulau Bidong dilihat berpotensi untuk dimajukan dan diangkat sebagai produk pelancongan. Ia mampu menarik lebih ramai pengunjung khususnya para penyelam skuba dari dalam dan luar negara selain menawarkan pakej edu-tourism yang unik.

Tugu peninggalan orang hanyut Vietnam yang masih teguh berdiri hingga kini di Pulau Bidong.

Kini, penyelidik UMT giat menjalankan kajian berkaitan penemuan bangkai kapal karam yang dinamakan sebagai The Bidong Shipwreck yang terletak kira-kira kurang dua batu nautika dari Pulau Bidong. Kerja-kerja arkeologi telah dilakukan beberapa fasa pada bangkai kapal yang berada pada kedalaman 18 meter itu membawa penemuan tembikar, seramik, barangan hiasan dan pinggan mangkuk yang dipercayai digunakan pada abad ke 15-17
masihi.

Pulau Bidong adalah simbol gabungan unik antara sejarah, alam semula jadi dan ilmu pengetahuan. Ia bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga satu lokasi penting untuk menghargai warisan sejarah dan menghayati keindahan serta kepentingan ekosistem marin.

Jika anda mencari tempat yang menyentuh jiwa dan memukau mata, Pulau Bidong adalah destinasi yang perlu diterokai!

Penulis dari Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast