KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah dalam memperkukuh jaringan strategik dan memperluas capaian pendidikan tinggi di utara tamah air.
Terkini menerusi anak syarikat milik penuh universiti, UMPSA Advanced memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama The Ship Campus di Pulau Pinang.
Menerusi kenyataan, perjanjian tersebut menandakan pembukaan secara rasmi sebuah pusat pembelajaran luar kampus UMPSA atau offshore campus yang menempatkan Pusat Asasi UMPSA di wilayah Utara Semenanjung Malaysia.
“Penubuhan kampus ini dilihat sebagai antara inisiatif strategik dalam memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti dan menyediakan peluang pembelajaran lebih fleksibel kepada pelajar dari utara tanah air,” kata kenyataan yang sama.
Majlis menandatangani MoA tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr. Ahmad Johari Mohamad dan Ketua Pegawai Operasi The Ship Campus, Jasmon Lim.
Hadir dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias. Turut hadir menyaksikan majlis Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group, Datuk Seri (Dr.) Michael Tio.
Dalam ucapan, Ahmad Ziad berkata, kerjasama itu bukan sekadar satu langkah strategik tetapi juga simbolik kepada aspirasi UMPSA dalam menjadikan pendidikan tinggi lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan industri.
“Inisiatif offshore campus di The Ship Campus ini adalah antara langkah strategik memperkukuh visibiliti UMPSA di wilayah utara Semenanjung Malaysia serta memperluaskan akses kepada program asasi dan pendidikan tinggi agar lebih ranai pelajar berpeluang mengikut program pengajian.
Kolaborasi itu juga membuka ruang kepada pengoperasian program asasi di lokasi yang bukan sahaja strategik dari segi geografi, tetapi turut dilengkapi dengan fasiliti moden dan teknologi pendidikan terkini yang secara langsung menyokong agenda pemerkasaan pendidikan tinggi yang berteraskan nilai, teknologi dan kebolehpasaran graduan.
Dalam pada itu, Prof Dr. Yatimah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan The Ship Campus atas kesediaan dan komitmen mereka untuk menjalin kerjasama yang diyakini akan membawa manfaat jangka panjang kepada kedua-dua institusi.
Menurutnya, kerjasama itu telah membuka lembaran baharu kepada pelajar, warga akademia dan pihak industri secara keseluruhannya.
“Dengan termeterainya MoA ini, UMPSA memperkukuh lagi peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal berteraskan teknologi dan inovasi, sejajar dengan hasrat untuk melahirkan graduan holistik, bercirikan keusahawanan dan berdaya saing di peringkat global.
“Malahan ia juga bakal memperlihatkan perkongsian sumber dan kepakaran dalam bidang akademik, teknologi, pembangunan pelajar serta pendedahan kepada industri,” katanya.
UMPSA menawarkan 10 program Ijazah Dual (Dual Degree) melalui strategik dengan lima institusi pengajian tinggi terkemuka dunia.
Antara rakan kerjasama termasuklah di negara Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Sciences ( HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Tianjin University dan Beijing Jiaotong University ( BJTU) di China, Kazakh National Agrarian Research University di Kazakhstan dan terkini bersama Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan. – MalaysiaGazette
















