Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan.

JOHOR BHARU – Dalam politik, persaingan tidak bermakna permusuhan, itu antara mesej Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki ketika tampil mewakili Wilayah Persekutuan dalam sesi perbahasan Kongres Nasional Keadilan 2025 hari ini.

Meskipun menewaskan penyandangnya, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam pemilihan Cabang parti, Afdlin secara terbuka menyatakan rasa hormat dan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu dalam meneruskan agenda parti.

“Saya ingin menyampaikan secara terbuka kepada YB Nik Nazmi. ‘I am at your service’. Bila-bila masa saya sedia bantu. Ini bukan soal siapa menang, siapa kalah.

“Ini soal Keadilan. Ini rumah perjuangan kita,” kata Afdlin disambut tepukan para perwakilan di Persada International Convention Centre di sini hari ini. 

Afdlin yang juga pelawak dan pengarah filem terkenal berkata, PKR membuktikan dirinya sebagai sebuah parti yang benar-benar demokratik dan terbuka kepada semua, tanpa mengira latar belakang.

“Kalau seorang pelawak macam saya boleh sertai parti ini dan diberi kepercayaan, membuktikan parti ini untuk rakyat dari pelbagai lapisan daripada pemandu Grab, penjaga kereta hingga penggiat seni,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh kekuatan parti dalam mengangkat nilai reformasi bukan hanya dari segi dasar, tetapi juga perubahan pemikiran dan budaya politik.

“Saya belajar dari parti ini bahawa tidak semua yang hitam itu benar-benar hitam, dan yang putih tidak semestinya putih. Politik bukan tentang hitam-putih semata, ia tentang keberanian untuk berubah,” katanya.

Afdlin turut menyatakan kekagumannya terhadap tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaafkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkannya sebagai contoh keberanian moral yang luar biasa.

“Kalau PM boleh maafkan Tun, saya fikir kita semua pun boleh belajar untuk berubah dan bersatu semula,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast