Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2025.

JOHOR BAHRU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang yakin mereka yang kalah dalam pemilihan tidak akan meninggalkan perjuangan parti.

“Ini kerana perjuangan parti adalah lebih utama dan perjuangan untuk seluruh negara dan bukan untuk seorang individu sahaja,” katanya ketika berucap dalam penggulungan di Kongres Nasional PKR, Johor Bahru hari ini.

Beliau juga percaya perpecahan yang teruk tidak akan berlaku selepas pemilihan PKR 2025 kerana sudah menjadi adat menang atau kalah dalam mana-mana pertandingan.

Jelasnya, perkara yang sama pernah berlaku dalam pemilihan PKR 2022 namun apabila tiba Pilihan Raya Umum ke-15 waktu itu semua pihak kembali bertaut.

“Ini kerana perjuangan parti adalah lebih utama dan perjuangan untuk seluruh negara dan bukan untuk seorang individu sahaja,” ujarnya.

Katanya, masalah perpecahan pada masa itu dapat diatasi sehingga PKR menang banyak kerusi dalam PRU15 malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi Perdana Menteri.

Beliau mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang manakala yang kalah boleh terus memainkan peranan dalam parti.

Lih Kang mahu semua pihak ketika ini perlu fokus kepada agenda utama parti iaitu untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan PRU16.

“Selepas ini kita akan hadapi PRN Sabah, kita perlu bantu rakan kita di Sabah untuk raih banyak kerusi, lepas PRN Sabah, ada lagi PRN lain dan PRU16.

“Kita tahu berapa susah nak menang dalam pilihan raya umum, ambil masa 20 tahun untuk sampai parti sampai tahap hari ini menjadi Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

“Kita perlu bersungguh-sungguh untuk menang pilihan raya umum akan datang bagi pastikan parti kita dalam terus berada dalam Kerajaan Pusat dan presiden kita masih menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau juga mengingatkan parti supaya tidak bergantung 100 peratus dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) apabila berkempen semasa pilihan raya umum nanti.

Menurutnya, semua pihak perlu turun padang bertemu pengundi sekali gus menyakinkan rakyat bahwa PKR adalah parti paling sesuai untuk pimpin negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast