JOHOR BAHRU – PKR Terengganu menyeru seluruh ahli dan penyokong parti memberi ruang serta sokongan penuh kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan baharu parti merealisasikan impian besar yang pernah dilontarkan sejak tiga dekad lalu.
Wakil PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, walaupun banyak idea besar telah diketengahkan sebelum ini, masih banyak yang belum sempat direalisasikan dan memerlukan masa serta sokongan berterusan.
“Kita bagi peluang kepada presiden dan kepimpinan baharu, presiden pernah melontarkan idea besar yang mungkin belum sempat untuk disempurnakan.
“Idea kebangkitan Gelombang Asia yang dibawa 30 tahun dahulu belum sempat dilaksanakan, bagi dia peluang,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan Kongres Nasional PKR 2025.
Azan yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu turut menyeru seluruh ahli parti agar bersatu dan memperkukuhkan perjuangan, selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar kini.
“Kita sokong beramai-ramai teguhkan parti, harmonikan dan bawa kesatuan semula seperti Corgan kata, Kerajaan Perpaduan bersekutu bertambah mutu,” ujarnya.
Menurut beliau, satu detik yang menyentuh perasaan adalah apabila Anwar menyebut bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-78, yang menggambarkan betapa cita-cita besar presiden masih belum tercapai.
“Saya rasa sebak semalam apabila presiden sebut beberapa bulan lagi beliau akan sambut ulang tahun kelahiran yang ke-78 di sebalik itu terletak satu harapan presiden belum melaksanakan impian besar beliau dan berikan dokongan.”
Dalam pada itu, Azan juga mencadangkan agar parti mewujudkan satu mercu tanda berbentuk kompleks sebagai simbol kebangkitan rakyat dan perjuangan PKR selama ini.
“Walaupun UMNO telah lama bertapak dan telah membina pelbagai mercu tanda, saya harap presiden dan kepimpinan cuba adakan satu kompleks kebangkitan keadilan rakyat, bolehlah kita bina di tengah-tengah ibu kota sebagai tanda penghargaan kepada parti kita untuk 200 tahun akan datang.”
Beliau menegaskan, pembinaan kompleks tersebut bukan sahaja menjadi simbol perjuangan PKR, malah legasi yang boleh diwarisi generasi akan datang. – MalaysiaGazette
















