Puluhan peserta himpunan memegang plakad dan berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka pada Himpunan Undur Azam Baki anjuran Liga Mahasiswa Malaysia di Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 24 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan supaya tidak menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai ‘senjata’ untuk melindungi rakan-rakan dan menteri yang terpalit dengan skandal rasuah.

Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz berkata, mana-mana kerajaan sekali pun tidak berhak menjadikan suruhanjaya tersebut sebagai senjata politik masing-masing.

“Sama ada kerajaan yang lalu, sekarang atau mana-mana kerajaan sekalipun tidak boleh jadikan SPRM sebagai senjata politik mereka.

“Jangan jadikan suruhanjaya ini sebagai tempat perlindungan rakan dan menteri,” katanya ketika di Himpunan Undur Baki yang diadakan di Dataran Merdeka malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Faisal Abdul Aziz; Mahasiswa Demokratik Malaysia, Muhammad Fakrurrazzi Khairur Rijal dan Federasi Pemuda Kebangsaan, Hamdin Nordin.

Dalam pada itu, Hamdin berkata, himpunan pada malam ini menyuarakan lima tuntutan kepada kerajaan.

Antaranya gesaan supaya SPRM dibebaskan dari kawalan Pejabat Pedana Menteri dan tuntutan penjelasan berkenaan kes Teo Beng Hock.

“Kita mahu (kerajaan) hentikan penggunakan suruhanjaya itu sebagai alat politik; kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM diserahkan kelada suruhanjaya bebas dan kita mahu (Tan Sri) Azam Baki berundur segera,” katanya.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz menyampailam ucapanya pada Himpunan Undur Azam Baki anjuran Liga Mahasiswa Malaysia di Datran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 24 MEI 2025.

Tambahnya, himpunan pada malam ini merupakan satu tindakan awal untuk memaklumkan rakyat Malaysia bahawa ada kelompok anak muda dalam kalangan mahasiswa yang membantah pelantikan semula Azam.

Terdahulu, seramai lebih kurang 60 peserta himpunan tersebut berarak daripada pusat beli-belah Sogo.

Himpunan yang dianjurkan oleh Sekretariat Undur Azam Baki itu menjadi gelanggang untuk rakyat menyuarakan bantahan  mereka terhadap kepimpinan berterusan Azam dalam SPRM.

Mengulas lanjut, Amira berkata, penolakan terhadap Azam bukan yang pertama kali sebaliknya pernah disuarakan sebelum ini.

Namun, ujarnya, kerajaan tetap bertindak menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya tersebut.

“Sebelum ini yang ada dalam kerajaan sendiri membantah dan menolak Azam tapi sekarang setiap kali bulan Mei sahaja (khidmat) Azam disambung,” tambahnya.

Sebagai rekod sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan semula Azam adalah bagi tempoh setahun berkuat kuasa pada 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Kemudian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilaporkan mempertahankan  tindakan kerajaan dan ia dibuat berdasarkan keyakinan terhadap keberanian Azam memerangi rasuah.

Katanya, walaupun langkah itu menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pembangkang, beliau tetap berpegang kepada pendirian bahawa Azam telah menunjukkan ketegasan dalam membanteras rasuah secara besar-besaran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast