KUALA LUMPUR – ASEAN perlu menangani isu-isu seperti perang dagang Amerika Syarikat (AS) dengan China; perubahan iklim dan penyalahgunaan teknologi secara kolektif.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, negara-negara ASEAN hari ini bukan sahaja terkesan dengan tarif oleh AS, malah perang perdagangan AS dan China turut mengganggu corak pengeluaran dan perdagangan global secara besar-besaran.
Selain itu, ujar beliau, ASEAN juga berhadapan dengan kesan perubahan iklim dan gangguan teknologi yang semakin pantas dengan suhu dan paras laut dunia meningkat, dan kecerdasan buatan (AI) berkembang lebih pantas berbanding tindak balas kerajaan.
Dalam masa sama, tambahnya, populasi ASEAN yang mempunyai kadar penembusan internet yang tinggi juga terdedah kepada penyalahgunaan teknologi AI dan kepincangan teknologi lain yang belum dikawal selia.
“Oleh itu, saya mengingatkan dengan penuh rasa mendesak akan perlunya kita menangani isu-isu ini secara kolektif.
“Kita mesti memainkan peranan aktif dalam mengharungi cabaran beberapa tahun mendatang,” katanya ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad menggesa ASEAN mengambil peluang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 untuk memperdalam integrasi ekonomi serantau supaya dapat melindungi rantau itu daripada kejutan luaran dengan mengurangkan jurang pendapatan antara negara ahli menjadi keutamaan.
Katanya, selain meningkatkan jumlah perdagangan intrarantau, ASEAN juga mesti terus menambah baik mekanisme yang memudahkan perdagangan dalam kalangan negara anggota.
Ujar beliau, dengan menyesuaikan berdasarkan kekuatan unik setiap negara anggota, ASEAN boleh menangani pertumbuhan ekonomi yang tidak sekata.
“Memperluas kerjasama dengan rakan luar juga dapat membantu kita menghadapi kejutan ekonomi luaran yang mendatang.
“Kita mesti bertindak secara bersama terhadap sebarang gangguan perdagangan global, dengan perpaduan serta autonomi strategik sebagai satu komuniti ASEAN,” katanya.
Tambah beliau, usaha kolektif itu juga akan membolehkan ASEAN mengharungi cabaran, meminimumkan impak kepada rakyat dan terus berkembang dengan berdaya tahan. – MalaysiaGazette
















