Seramai 168 peserta dari 68 negara telah menyertai 5th International Conference on Applied & Industrial Mathematics and Statistics 2025 (ICoAIMS 2025)

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan berjaya menganjurkan persidangan bertaraf antarabangsa dalam bidang Matematik Gunaan dan Statistik Industri.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha berkata 5th International Conference on Applied & Industrial Mathematics and Statistics 2025 (ICoAIMS 2025) yang berlangsung pada 23 hingga 24 Mei lalu turut menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), Dasar Revolusi Industri Keempat Negara, Dasar Pendidikan Tinggi dan Dasar Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Jelasnya dasar tersebut dizahirkan menerusi penggalakan penyelidikan berkualiti tinggi, perkongsian ilmu global dan pembangunan kemahiran analitik data serta teknologi digital.

“Dengan penyertaan pelbagai institusi dan pihak industri, ICoAIMS 2025 terus menjadi platform unggul yang memperkukuh jaringan penyelidikan, inovasi dan mobiliti akademik dalam kalangan penyelidik, pendidik dan pengamal industri di peringkat antarabangsa.

“Kepentingan kolaborasi ini dapat merentas disiplin dan sempadan geografi dalam menangani cabaran era Revolusi Industri Keempat, khususnya melalui penerapan Matematik, Statistik dan Sains Data dalam pembangunan teknologi,” katanya.

Antara yang turut serta ialah dari MIE University, Jepun, Thaksin University, Thailand, Polytechnic University of The Philippines (PUP), Filipina dan Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia.

Program anjuran Pusat Sains Matematik UMPSA ini juga mendapat  kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dan Institut Statistik Malaysia (ISM) serta rakan strategik dari Jepun, Thailand, Filipina dan Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast