KUALA LUMPUR – Penganjuran Family Fun Run Genius Aulad 2025 melakar sejarah apabila disertai 10,000 peserta di kalangan ibu bapa dan anak-anak yang berlangsung di MAEPS Serdang, semalam.
Acara anjuran Genius Aulad iaitu jenama prasekolah Islamik terkemuka di Malaysia diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya yang melibatkan acara larian sejauh 2.5 kilometer.
Pengasas Genius Aulad dan GAINS Education Group, Zaliza Alias berkata, program tersebut menjadi lambang kukuh kepada komitmen institusi itu dalam membina asas pendidikan awal yang menyeluruh, menyeronokkan dan berpaksikan nilai kekeluargaan.
Menurutnya, sambutan kali itu bukan sekadar meraikan pencapaian masa lalu tetapi sebagai isyarat bahawa pendidikan awal kanak-kanak memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar dan masyarakat..
“Dengan tema “Itʼs a Small World After All”, acara larian ini bukan sekadar aktiviti riadah sebaliknya memperkenalkan elemen pembelajaran melalui titik pemeriksaan interaktif seperti pejabat pos, hospital, kedai roti dan balai bomba yang direka menyerupai bandar mini bagi memberi pengalaman dunia sebenar kepada kanak-kanak.
“Malah suasananya juga mengharukan apabila melihat ibu bapa dan anak-anak berjalan bersama, berpimpinan tangan, menikmati detik kecil yang sangat bermakna. Inilah erti pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi membina hubungan dan nilai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Family Fun Run Genius Aulad 2025 turut disertai warga pendidik institusi itu dari lebih 45 cawangan di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Zaliza memberitahu, program itu turut menampilkan detik istimewa menerusi pelancaran semula Lagu Sekolah Genius Aulad yang diterbitkan pada tahun 2005 menerusi kolaborasi bersama kumpulan nasyid Raihan dan Islamic Relief Worldwide.
Kata beliau, lagu asal itu ditulis oleh anak Genius Aulad sendiri yang kini sudah pun mempunyai anak sendiri dan dinyanyikan semula oleh generasi baru Genius Aulad.
“Kami merancang untuk menerbitkan video muzik rasmi sebagai hadiah buat semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.
“Genius Aulad bukan sahaja institusi prasekolah, malah turut berperanan sebagai konsultan pendidikan kepada siri animasi popular seperti Omar & Hana dan Didi & Friends, mencerminkan peranan holistik institusi itu dalam dunia pendidikan kanak-kanak,” kataya.
Ditubuhkan pada tahun 2000, Genius Aulad kini mempunyai lebih 80 cawangan di Malaysia dan Indonesia, dan bernaung di bawah GAINS Education Group Sdn Bhd yang turut mengendalikan IDRISSI International School dan Sekolah Tinta. – MalaysiaGazette
















