JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri tidak pernah bersikap zalim terhadap rakyat dan sentiasa berusaha memastikan hak milik tanah penduduk, khususnya di kampung-kampung tradisi seperti di Kampung Melayu Majidee terus dipelihara.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, status pajakan tanah bukan satu bentuk pencerobohan tetapi sebaliknya adalah satu pegangan yang sah di sisi undang-undang.
“Status pajakan tanah tetap memberikan hak milik penuh kepada pemilik termasuk hak untuk mewariskan, menjual dan membuat pembangunan, tertakluk kepada syarat dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Baru-baru ini, sebanyak tujuh permohonan pembaharuan pajakan tanah di Kampung Melayu Majidee telah diluluskan dan diserahkan. Ini bukti komitmen kerajaan negeri dalam mempercepatkan proses permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.
Menurut Onn Hafiz , pendekatan kerajaan adalah inklusif dan terancang untuk memastikan kampung-kampung tradisi terus kekal dalam landskap pembangunan bandar moden tanpa mengetepikan nilai warisan dan budaya asal.
“Tanah bagi orang Melayu akan terus dipelihara di bawah elemen Rizab Melayu dan tidak boleh dipindah milik kepada bangsa lain,” jelasnya.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut sedang mengubah Rancangan Kawasan Khas (RKK) perkampungan tradisi Melayu di Johor Bahru supaya selaras dengan Pelan Pembangunan Wilayah Selatan Johor (JSSZ), bagi memastikan kampung-kampung tersebut tidak terasing daripada arus pembangunan.
“Kita tidak mahu pembangunan yang melupakan akar dan warisan. Sebaliknya, kita mahu membangunkan kampung-kampung ini dengan acuan sendiri, moden, berdaya saing dan kekal dengan jiwa Melayu,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Johor akan terus komited dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta memastikan kampung-kampung tradisi terus membangun seiring dengan kemajuan negeri.
Pada 27 April lalu, penduduk Kampung Melayu Majidee yang berdepan isu tempoh pajakan negeri 99 tahun hampir tamat, dilaporkan dinasihatkan untuk segera membuat permohonan melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka.
Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) dilapor memaklumkan permohonan penukaran status TRM Kampung Melayu Majidee kepada hak milik kekal dibuat pemilik tanah dan penduduk, selepas merujuk Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) Johor.
Pengerusi Perkam, Abdul Rahim Md Shariff, dilaporkan berkata, tidak timbul isu permohonan dibuat penduduk sebagai membuang masa dan mustahil untuk direalisasikan.
Pada 20 April lalu, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee dilapor masih menanti jawapan berhubung status permohonan TRM hak milik kekal, yang dimohon kepada kerajaan negeri, sejak tahun lalu.
Abdul Rahim dilaporkan, berkata ia berikutan status tanah Rizab Melayu Kampung Melayu Majidee ketika ini masih berstatus TRM Pajakan Negeri 99 tahun.- MalaysiaGazette
















