KUALA LUMPUR – Bermula dengan inisiatif kecil yang bermula daripada bilik darjah, Kit Binujar 4.0 yang merupakan satu inovasi pendidikan khas hasil rekaan tiga orang guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) menempa nama di persada antarabangsa.

Inisiatif yang dicetuskan oleh Cikgu Muhammad Shahrol Harun bersama dua rakan pendidiknya iaitu Cikgu Farahwahida dan Cikgu Siti Farah daripada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1), dibangunkan khusus untuk membantu murid yang menghadapi kesukaran menulis huruf seperti ‘g’, ‘j’, ‘y’, ‘p’ dan ‘q’, terutamanya dalam kalangan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) seperti Autisme dan Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD).

Inovasi pendidikan tersebut terus kemudiannya dikembangkan kepada bentuk digital, seiring dengan kemajuan teknologi canggih pada hari ini.

Jelasnya, aplikasi berkenaan membolehkan murid belajar di rumah bersama ibu bapa tanpa membosankan, guru pula menggunakan Buku Binujar sebagai alat bantu mengajar harian di sekolah.

“Kit ini pada asalnya berbentuk fizikal dengan garis berwarna hijau, kuning dan merah seperti lampu isyarat untuk membantu murid memahami struktur huruf dengan lebih mudah.

“Inovasi itu kemudian dikembangkan kepada bentuk digital, lahirlah Kit Binujar 4.0, aplikasi pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) yang mematuhi enam tahap Taksonomi Bloom – mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang juga dikenali sebagai Sir Raden, tutor MCPLUS dan Cikgu Juara Digital berkata, inovasi tersebut berjaya meraih empat anugerah utama dalam International Innovation and Invention Competition UTHM (IICE) 2024 iaitu Anugerah Emas; Anugerah Pencipta Muda Anugerah Pendidikan Terunggul dan Anugerah Khas Ketua Kejuruteraan Elektronik.

Pertandingan tersebut turut disertai oleh peserta dari Jepun, Thailand, Indonesia dan India.

Kejayaan itu disusuli dengan kemenangan emas dalam pertandingan Edu@Innovate International Education Innovation Competition 2025 di Universiti Perguruan Sultan Idris (USPI), Perak hasil pembentangan cemerlang oleh enam murid yang mewakili SKPP18(1).

Menurut Muhammad Shahrol, pasukan itu sekali lagi berjaya membawa pulang Anugerah Emas.

“Salah seorang pembentang, Rania El Zara, murid PPKI, telah mencuri perhatian ramai apabila membentang dengan penuh yakin dan bersemangat. Dia benar-benar beri inspirasi kepada semua yang hadir,” ujarnya.

Kata beliau, kini kumpulan berkenaan sedang bersiap sedia untuk ke Universiti Seoul, Korea Selatan pada Julai 2025 untuk menyertai World Invention Creativity Olympic & Conference.

Muhammad Shahrol berharap usaha ini mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang mungkin ingin memberi sumbangan sebagai suntikan semangat kepada usaha yang digerakkan pasukan tersebut.

“Doakan kami ya. Bukan untuk diri sendiri, tapi untuk buktikan bahawa anak Malaysia boleh. Guru sekolah rendah juga mampu cipta perubahan.

“Pendidikan khas juga berhak bersinar di mata dunia,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast