Logo ASEAN. Foto HARI ANGGARA, 21 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan memastikan ASEAN kekal
relevan, responsif dan berpaksikan rakyat, selaras dengan
wawasan jangka panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 merupakan platform utama bagi pemimpin rantau untuk meneliti kemajuan dalam tiga tunjang utama membabitkan politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

“Ia juga menjadi medan utama untuk membincangkan isu-isu
serantau dan global yang semakin kompleks, termasuk isu Laut
China Selatan, krisis kemanusiaan di Gaza dan Myanmar, tarif
perdagangan unilateral oleh kuasa besar, cabaran ekonomi digital
dan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada taklimat harian yang disiarkan menerusi laman Facebook, hari ini.

Sesi plenari dan retreat, sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 dan Majlis Makan Malam Gala ASEAN dijadual berlangsung pada hari ini.

Selain itu, beberapa mesyuarat dua hala juga dijadualkan berlangsung sepanjang hari bersama rakan-rakan strategik termasuk Kemboja, Singapura, China dan Kuwait.

Menurut Tunku Nashrul, melalui kepengerusian ASEAN, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Mengenai  Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2, beliau memberitahu, ia akan mengukuhkan komitmen jangka panjang
kedua-dua rantau yang telah menjalinkan hubungan sejak 1990.

Katanya, ASEAN dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting dengan jumlah dagangan mencecah AS$130.7 bilion dan Pelaburan GCC ke ASEAN sebanyak AS$390.2 juta.

“Sidang ini bakal meneliti pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN
GCC 2024-2028, termasuk inisiatif dalam perdagangan bebas,
pendidikan, pembangunan mampan dan keterhubungan budaya
serta digital,” ujarnya.

Sementara itu Tunku Nashrul berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China merupakan inisiatif baharu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala dengan pihak terbabit.

Tambah beliau, ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah KDNK AS$3.8 trilion, manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah AS$696.7 bilion.

Katanya, sidang ini dijangka merangka strategi baharu dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur mampan dan digitalisasi rantau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast