Petugas memasang logo ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 komited memperkukuh kerjasama serantau bagi menjayakan peralihan tenaga yang lebih bersih, selamat dan inklusif di rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peralihan tenaga kini bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan yang memerlukan tindakan kolektif dan terancang oleh negara-negara anggota ASEAN.

“Malaysia akan terus memacu dialog, membina konsensus dan memperkukuh rangka kerja serantau untuk menjamin masa depan tenaga yang mampan serta menyeluruh bagi ASEAN,” katanya.

Beliau yang merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Peralihan Tenaga di ASEAN bertemakan ‘Memupuk Kerjasama Serantau’ di sini, hari ini.

Menurut Fadillah, perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan ketidakstabilan pasaran tenaga global telah meletakkan rantau ini dalam situasi yang mencabar.

“Seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung PBB, António Guterres, perubahan iklim merupakan ancaman eksistensial kepada manusia.

“Di Asia Tenggara, kesannya sudah dirasai daripada gelombang haba, banjir, kemarau hingga kepada ketidaktentuan bekalan tenaga,” ujarnya.

Sementara itu, Fadillah berkata, permintaan tenaga ASEAN meningkat sebanyak 3 peratus setahun untuk tempoh dua dekad, melebihi purata global dan dijangka meningkat lebih 60 peratus menjelang 2040.

“Cabaran kita adalah untuk terus menjana kemajuan ekonomi tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar dan memastikan kos tenaga kekal mampu milik,” tambah beliau.

Katanya, hanya 16 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utama di rantau ini berasal daripada sumber boleh diperbaharui.

Beliau berkata, beberapa inisiatif negara anggota termasuk, Vietnam telah menambah kapasiti solar melebihi 20GW sejak 2019, Indonesia dengan Just Energy Transition Partnership (JETP) bernilai sekurang-kurangnya AS$20 bilion dan Thailand menerapkan model ekonomi Bio-Sirkular-Hijau.

Katanya, Malaysia pula menyasarkan 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 melalui National Energy Transition Roadmap (NETR).

Mengulas mengenai kepentingan integrasi tenaga serantau, Fadillah menekankan keperluan untuk memperluaskan projek seperti ASEAN Power Grid (APG) dan Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP).

“Pada 13 Disember 2024, Malaysia memulakan perdagangan elektrik hijau rentas sempadan dengan Singapura melalui platform ENEGEM.

“Dalam tempoh 148 hari, lebih 107 TWh tenaga hijau telah dihantar merentasi Tambak Johor,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast