ISKANDAR PUTERI – Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan dibuat lebih awal kerana penggal pentadbiran kerajaan negeri akan tamat pada April 2027.
Menteri Besar Johor berkata, kerajaan negeri sedia ada masih memiliki tempoh dua tahun untuk memberikan tumpuan penuh kepada kerja-kerja pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi manfaat rakyat.
“Ini bukan musim pilihan raya, penggal pentadbiran hanya akan tamat pada April 2027, ada dua tahun lagi jadi seperti dititahkan Pemangku Sultan Johor untuk kita fokus pembangunan negeri Johor.
“Marilah kita cari titik persamaan agar kerjasama dapat dicapai dan bukannya mencari titik perbezaan antara kita sehingga boleh menyebabkan perpecahan berlaku,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Onn Hafiz (BN-Machap) turut menzahirkan ucapan terima kasih dengan komitmen dan akhlak murni ditunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pelbagai parti politik di pada sidang DUN Johor.
Katanya, walaupun berbeza ideologi politik, beliau dapat merasakan keharmonian sidang DUN ini.
“Kita berbeza parti dan ideologi politik namun saya dapat rasakan keharmonian di dalam Sidang DUN Johor ini.
“Saya akan laporkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bahawa semua ahli dewan menjunjung tinggi keharmonian dan menunjukkan semangat muafakat tinggi.
“Johor mesti jadi Johor, kita mesti menjadi contoh. Marilah kita dengar bukan sahaja dengan telinga tetapi juga dengan hati dan jiwa. Jangan hanya bercakap untuk direkodkan sebaliknya bercakaplah untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya.
Terdahulu, beberapa pemimpin politik mendakwa PRN Johor mungkin diadakan seawal tahun depan sehingga wujud desakan agar Barisan Nasional (BN) Johor nyatakan pendirian sama ada akan bergerak solo atau bekerjasama.
Pada PRN Johor lalu, BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN negeri.- MalaysiaGazette
















