Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir

PUTRAJAYA – Proses rundingan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak terhad kepada gabungan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya Barisan Nasional (BN) terbuka kepada kerjasama lebih luas yang merangkumi pelbagai pihak termasuk parti politik di negeri itu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, rundingan sudah dimulakan secara langsung dan tidak langsung yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan politik di Sabah.

“Kita tidak hadkan rundingan hanya dengan PH sahaja. Seperti yang disebut oleh Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri, kita sedang membina kerjasama yang merangkumi pendekatan ‘plus-plus’ iaitu gabungan lebih luas termasuk parti-parti dari Sabah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas program Karisma Pemimpin Muda Madani 2025 dan sesi dialog bersama Menteri Pengajian Tinggi, di sini, hari ini.

Zambry diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang berkata BN mempraktikkan keterbukaan untuk berunding mengenai pembahagian kerusi dengan mana-mana parti di Sabah bagi berdepan PRN negeri itu tidak lama lagi.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini perbincangan awal antara BN dan PH mengenai pengagihan kerusi telah bermula namun sebarang keputusan akan dimuktamadkan selepas pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Sementara itu, Zambry berkata, BN komited untuk membentuk satu kesepakatan politik yang lebih kukuh di Sabah dengan mengambil kira suara serta kekuatan parti-parti komponen dan rakan kerjasama di peringkat negeri.

“Dalam BN dan PH sendiri pun kita ada parti-parti berasaskan Sabah. Jadi kita mengiktiraf pentingnya sokongan tempatan dan tidak mahu rundingan ini dilihat berpaksikan kepada dua pihak semata-mata,” tambah beliau.

Beliau memberi jaminan proses rundingan akan diteruskan secara progresif, mengambil kira kepentingan rakyat Sabah serta landskap politik semasa di negeri berkenaan.

“Proses ini sedang berjalan dan kita terbuka kepada sebarang bentuk rundingan serta cadangan yang boleh membawa kepada kesepakatan terbaik,” katanya.

Rundingan kerusi PRN Sabah dijangka terus menjadi tumpuan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, ketika pelbagai parti politik memperkemaskan strategi mereka untuk menghadapi pilihan raya negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast