PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan tidak menghalang hasrat kerajaan negeri Sarawak untuk melaksanakan skim pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak negeri itu, memandangkan negeri tersebut mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh untuk merealisasikannya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa bersikap terbuka dan menyokong usaha mana-mana kerajaan negeri dalam memperkasa sistem pendidikan, sama ada di peringkat rendah mahupun tinggi.
“Mungkin bagi kerajaan negeri Sarawak, pelaksanaannya (pendidikan tinggi percuma) agak mudah kerana mereka ada sumber kewangan yang mencukupi. Kalau mereka nak laksanakan untuk rakyat negeri mereka, saya fikir ia bukan sesuatu yang rumit.
“Selagi tidak melibatkan isu-isu berkaitan perlembagaan atau perkara yang bercanggah dengan dasar nasional, ia boleh diteruskan. Jadi saya tak nampak keperluan untuk kajian tambahan dalam kes ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Karisma Pemimpin Muda Madani 2025 dan sesi dialog bersama Menteri Pengajian Tinggi di Dewan Za’aba, KPT hari ini.
Kabinet Sarawak meluluskan cadangan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), hasil perbincangan dalam mesyuarat Kabinet negeri pada 20 Mac.
Pelaksanaan FTES dijadual bermula pada tahun 2026 dan terbuka kepada rakyat Sarawak yang mengikuti pengajian di institusi milik penuh negeri itu.
Antara institusi pengajian tinggi yang terlibat termasuk Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University of Malaysia, University Technology of Sarawak dan i-CATS University College.
Program FTES akan meliputi pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang-bidang strategik seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Undang-Undang, Perubatan, Perakaunan dan Kewangan.
Menurut Zambry, usaha seperti ini wajar dihargai kerana mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses pendidikan tinggi yang berkualiti tanpa bebanan kewangan yang berat.
“Sarawak ada kemampuan dia ingin memberikan bantuan kepada anak negerinya. Jadi saya fikir itu bukanlah sesuatu perkara yang sulit,” katanya. – MalaysiaGazette
















