Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berucap pada Program Pertemuan Khas Anggota dan Pimpinan Keadilan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 14 MEI 2025.

KEMENANGAN Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan parti baru-baru ini membawa satu mesej penting kepada landskap politik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu kekuatan sebenar tidak terletak pada retorik atau persepsi semata-mata.

Ia terletak pada keupayaan mengatur strategi, membina jentera dan menggerakkan akar umbi secara tersusun dan menyeluruh.

Ketika kempen bermula, Nurul Izzah kelihatan seakan terkebelakang malah naratif ‘DAMAI’ yang dibawanya menerima pelbagai kritikan dan sentiasa diserang secara langsung oleh pesaing utamanya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menguasai persepsi umum dan media sosial dengan naratif lebih agresif.

Namun perubahan besar berlaku selepas satu peristiwa penting iaitu Himpunan Akar Umbi Selangor yang diadakan secara besar-besaran di Shah Alam.

Himpunan itu menjadi titik permulaan gelombang kebangkitan kem Nurul Izzah. Ia bukan sekadar simbolik tetapi menjadi pemacu kepada keyakinan akar umbi.

Kehadiran besar dan reaksi positif dari perwakilan memperlihatkan gerakan itu mempunyai sokongan tersendiri yang mungkin senyap tetapi mantap.

Selepas Shah Alam, momentum itu disambung ke Wilayah Persekutuan dan Pahang sebelum diperluas lagi melalui pelancaran jentera di Sabah dan Sarawak.

Grand Finale di Johor melengkapkan siri kempen berskala besar yang disusun rapi dan disokong oleh pelbagai pihak khususnya daripada pasukan gerak kerja Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang memberi gambaran kempen Puteri Reformasi itu bukan digerakkan secara bersendirian atau emosional tetapi melalui struktur strategik dan operasi taktikal yang kemas.

Gabungan Strategi, Bukan Hanya Nama

Kemenangan Nurul Izzah tidak boleh disandarkan semata-mata kepada kedudukannya sebagai anak kepada presiden parti sebaliknya adalah kombinasi antara trek rekod peribadi, imej bersih serta strategi pasukan yang membina momentum dengan konsisten.

Pasukan ‘DAMAI’ memperlihatkan keupayaan tinggi dalam pengurusan kempen, menyusun tenaga kerja akar umbi dan mengurus logistik merentas negeri.

Pasukan ini juga mendapat sokongan kumpulan rentas negeri dan rentas generasi yang mempercayai mesej damai sebagai asas baharu untuk menyatukan semula parti.

Mereka bergerak tanpa serangan balas walaupun dihentam hebat di media sosial. Pendekatan mereka kekal tenang dan fokus kepada gerak kerja satu disiplin yang sukar dicapai dalam suasana politik yang panas.

Antara Persepsi dan Realiti

Salah satu penemuan penting dalam pemilihan ini adalah jurang ketara antara persepsi awam dan realiti lapangan.

Ramai menjangka Rafizi akan mendahului berdasarkan dominasi beliau di ruang digital namun sebaliknya berlaku dengan Nurul Izzah mendahului dalam undi sebenar menunjukkan persepsi bukan segalanya.

Struktur pengundi, pergerakan kempen di setiap cabang dan negeri serta kehadiran person in charge yang mengurus organisasi fizikal dan digital dengan cermat menjadi kekuatan utama pasukan Izzah. Ia memperlihatkan keupayaan strategik dan bukan sekadar populariti.

Kejutan di MPP: Tulang Belakang Kalah, Tetapi Jentera Menang

Walaupun kem Nurul Izzah berjaya menguasai kemuncak utama, kemenangan tidak datang tanpa kejutan.

Beberapa watak utama yang dianggap sebagai tulang belakang kepada naratif dan struktur DAMAI termasuk calon Naib Presiden Sim Tze Tzin, Saifuddin Shafi Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Azmizam Zaman Huri dan  Datuk Borhan Aman Shah selaku calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) gagal mendapat tempat meskipun memainkan peranan kritikal di belakang tabir sepanjang tempoh kempen.

Malah beberapa figura ini dijangka menang besar dengan Tze Tzin mungkin mendapat tempat ketiga atau keempat dalam pertandingan Naib Presiden PKR manakala calon MPP lain pula dalam kalangan ‘top 10’. 

Tetapi kekalahan mereka memperlihatkan realiti cabaran dalaman dalam parti bahawa strategi dan pengorbanan tidak selalu diterjemah kepada sokongan individu. Namun dari sudut lain, ia juga menonjolkan kematangan politik pasukan Damai. 

Mereka menerima kekalahan peribadi dengan tenang tanpa menggugat struktur keseluruhan. Mereka kekal memberi fokus kepada kemenangan kem jeneral mereka Nurul Izzah.

Keadilan Wajib Manfaatkan Pasukan Ini

Melangkah ke hadapan, PKR mesti mengiktiraf dan memanfaatkan kekuatan pasukan ini yang telah membuktikan mereka bukan sekadar wujud untuk menang pilihan raya dalaman tetapi juga berpotensi untuk memberi nilai tambah kepada pentadbiran dan penyusunan semula parti di peringkat nasional.

Kemenangan bukan alasan untuk berpuas hati tetapi isyarat bahawa satu gelombang baharu telah terbentuk satu gelombang yang perlu diberi ruang untuk membuktikan keupayaan dalam pengurusan, pentadbiran dan penyatuan dalaman parti.

Bukan Menolak Tetapi Melengkapi

Analisis ini juga tidak bermaksud menolak kekuatan dan kepakaran pasukan Rafizi yang telah banyak menyumbang kepada strategi makro parti termasuk dalam aspek dasar dan komunikasi.

Namun realiti yang terbukti kali ini ialah pasukan akar umbi Nurul Izzah juga tidak boleh dipandang ringan. Mereka adalah pemain senyap yang mampu menggerakkan keputusan.

Sikap mereka yang tidak membalas serangan secara agresif, tetapi kekal dengan pendekatan stabil, harus dihormati dan dijadikan model kempen matang dalam PKR.

Masa untuk Menyatukan

Kemenangan Nurul Izzah adalah kemenangan naratif damai yang disokong oleh struktur kuat dan strategi lapangan yang teliti. Ia adalah kemenangan politik organisasi bukan semata-mata personaliti.

Parti kini perlu bergerak ke fasa seterusnya dengan lebih rasional dan inklusif, memberi ruang kepada pasukan-pasukan yang terbukti boleh bekerja secara senyap tetapi berkesan.

PKR harus menolak budaya meminggir atau mencantas kumpulan hanya kerana perbezaan pendekatan sebaliknya, setiap kumpulan yang membuktikan kemampuan harus dilihat sebagai aset, bukan ancaman.

Dalam erti kata sebenar, kemenangan bukan penamat. Ia adalah permulaan kepada satu fasa baharu fasa menyusun semula kekuatan, menjadikan struktur lebih responsif dan menukar semangat damai menjadi pelan tindakan yang mampu mengangkat semula keyakinan rakyat terhadap perjuangan keadilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. hati hati dengan ular berselindung dalam parti. belitan dan patukannya sangat berbisa

Comments are closed.