BALING – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling mengambil masa selama 30 minit sebelum berjaya menangkap seekor ular sawa batik seberat 90 kilogram di Kampung Tebing Tinggi di sini, hari ini.
APM Kedah dalam kenyataan berkata, ular sawa sepanjang lima meter itu ditangkap di kawasan ternakan kambing berhampiran kebun getah selepas pihaknya mendapat panggilan daripada penduduk jam 5.10 petang tadi.
“Penduduk yang dikenali sebagai Norlida memaklumkan tentang kehadiran reptilia tersebut yang dilihat mengekori sekumpulan kambing ternakan.
“Operasi menangkap ular tersebut mengambil masa kira-kira 30 minit dan selesai sepenuhnya pada pukul 5.47 petang tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
“Ular terbabit dibawa pulang ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut oleh pihak berkaitan,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, tindakan pantas pemilik ternakan turut berjaya mengelakkan kejadian tidak diingini sebelum pasukan APM tiba di lokasi.
“Sehubungan itu, kita nasihatkan orang ramai agar terus berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui haiwan berbahaya, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















