Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (sembilan kanan) bersama Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah AlKhalid Al-Sabah (tengah) dan Ketua-ketua negara ASEAN serta Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bergambar pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini akan mengiktiraf Timor Leste akan diiktiraf sebagai anggota tetap gabungan itu yang ke-11.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dicapai selepas keputusan konsesus berpihak kepada negara itu supaya menyertai blok serantau itu.

Namun, katanya, Timor Leste memerlukan dua lagi tindakan dalam aspek ekonomi yang perlu dipenuhi negara itu untuk menyertai ASEAN.

“Berkenaan status keahlian Timor-Leste selepas beberapa hari perbincangan, syarat politik, ekonomi dan perundangan telah dipenuhi secara konsisten.

“Malaysia dan beberapa negara lain banyak membantu dan konsensus dicapai di mana Timor Leste akan diterima sebagai ahli penuh ASEAN pada sesi Oktober.

“Ia tertakluk kepada satu dua tindakan pembaharuan ekonomi yang masih perlu dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Timor Leste yang pertama kali memohon keanggotaan ASEAN pada 2011 telah diberikan status pemerhati pada mesyuarat peringkat tinggi pada 2022.

Bagaimanapun, penyertaannya sebagai anggota penuh masih dalam proses penilaian.

Perdana Menterinya. Kay Rala Xanana Gusmao turut berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang kemuncak itu.

Anggota ASEAN kini ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dianjurkan di bawah Kepengerusian Malaysia bagi 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bermula semalam, diikuti dua sesi berprestij iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang diadakan buat pertama hari ini.

Sementara itu, Anwar turut menepis dakwaan ASEAN lebih cenderung menjaga hubungan dengan China berbanding negara lain.

“Ini satu tanggapan yang sering disalah erti. Saya telah nyatakan kepada pemimpin ASEAN bahawa selepas syor oleh menteri-menteri luar dalam mesyuarat pertama di Langkawi Januari lalu, ASEAN akan terus jalinkan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast