Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto dan Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Julapan Amornvivat bergambar selepas menandatangani dokumen perjanjian Kerangka Kerjasama Kastam, Imigresen dan kuarantin (CIQ) yang dimeterai antara Malaysia, Thailand dan Indonesia pada Sidang Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2025.

KUALA LUNPUR – Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT) bakal memberi rangsangan ekonomi menerusi sokongan projek infrastruktur fizikal bernilai hampir US$39 bilion (RM165.3 bilion) kepada ketiga-tiga negara berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan projek yang difokuskan dalam aspek transformasi ekonomi, pelancongan, pertanian, sektor halal serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Saya juga ingin mengucap terima kasih kepada Thailand kerana melaksanakan pelan tindakan dengan cepat. Beberapa projek di sempadan termasuk laluan ke Rantau Panjang dan jambatan sempadan Sungai Golok berjalan dengan baik,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas selesai Sidang Kemuncak ASEAN ke 46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN 27 MEI 2025

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Rangka Kerjasama IMT-GT mengenai Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini hari ini.

Anwar menambah, pendapatan rakyat juga menjadi keutamaan dalam agenda kerjasama IMT-GT selain pembangunan ekonomi, isu perubahan iklim yang memberi kesan kepada kehidupan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada menteri-menteri yang terlibat kerana buat persiapan rapi untuk sesi ini,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Masato Kanda yang baru yang dilantik sebagai Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Februari lalu.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama Menteri Kewangan Thailand, Julapan Amornvivat hadir pada majlis menandatangani dokumen perjanjian Kerangka Kerjasama Kastam, Imigresen dan kuarantin (CIQ) yang dimeterai antara Malaysia, Thailand dan Indonesia pada Sidang Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2025.

Beliau turut melahirkan keyakinan kepimpinan baharu itu mampu meningkatkan sokongan terhadap pelaksanaan kerjasama IMT-GT.

Beliau turut berharap agenda yang dirangka dapat diterima semua pihak demi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Pada majlis itu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli turut membuat pembentangan bertajuk “Memperkukuh Kerjasama Sub-Rantau bagi Menangani Cabaran Global”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast