GEORGE TOWN – Sebuah medan selera di daerah Barat Daya, dekat sini, ditutup 14 hari bermula semalam susulan penemuan lipas di kawasan penyediaan makanan dan dapur premis itu.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan berkata, penutupan itu dibuat menerusi Operasi Kebersihan Premis Makanan yang dijalankan pihaknya.
“Kompleks medan selera tersebut telah dikenakan tindakan penutupan premis serta-merta selama 14 hari berkuat kuasa Isnin hingga 8 Jun depan mengikut Undang-Undang Kecil 38 (1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.

“Antara aspek lain yang diberi perhatian adalah syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan oleh MBPP seperti lesen perniagaan sah laku tempoh, kebersihan premis, pematuhan pengendali makanan dan sebagainya,” katanya.
Tambah kenyataan itu, MBPP sentiasa menitikberatkan kebersihan premis makanan bagi memastikan keterjaminan penyediaan makanan kepada pelanggan berada di tahap yang mencapai piawaian. – MalaysiaGazette
















