JOHOR BAHRU – Sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mengambil tindakan berani dan adil dalam menyusun semula sistem perolehan hasil khususnya dalam konteks federalisme.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, langkah itu dilihat dapat menjamin keseimbangan pembangunan antara negeri-negeri di bawah konsep federalisme.
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Johor berkata, menerusi pulangan hasil yang lebih tinggi, kerajaan negeri mampu melaksanakan pelbagai projek berskala besar yang amat diperlukan.
“Antaranya penyelesaian isu air, menaik taraf sistem pengangkutan awam, pembinaan hospital dan sekolah baharu serta inisiatif pemuliharaan alam sekitar.
“Kita tidak boleh lagi bergantung dengan bajet tahunan yang terhad sedangkan Johor sedang berkembang pesat.
“Wilayah Iskandar dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) contohnya, memerlukan pelaburan infrastruktur yang besar. Ini semua memerlukan sokongan kewangan yang lebih kukuh daripada Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan untuk memberi balik 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor.
Menurut baginda, pada masa ini Kerajaan Negeri Johor memberikan antara RM48 billion hingga RM49 bilion setahun cukai negeri kepada kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, UMNO Johor menyokong penuh titah Tunku Mahkota Ismail itu bagi tujuan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.
Beliau berpendapat, gesaan itu bukan sahaja munasabah, tetapi sangat bertepatan dengan realiti semasa kerana Johor merupakan antara negeri penyumbang hasil terbesar kepada ekonomi negara.
“Johor menyumbang hampir RM50 bilion setahun kepada hasil negara, namun pulangan yang diterima semula oleh negeri tidak sampai RM2 bilion. Jurang ini amat besar dan tidak wajar dibiarkan berlarutan,” ujarnya.
Abdul Halim berharap permohonan tersebut tidak tinggal sebagai satu memorandum atas kertas semata-mata.
Tegasnya, kerajaan Persekutuan perlu tunjukkan komitmen dan keikhlasan untuk memastikan pembangunan negeri pengeluar hasil seperti Johor tidak terus terpinggir.
“Saya juga menyeru agar semua ahli Parlimen Johor, termasuk parti pembangkang, bersatu hati dalam membawa isu ini ke peringkat tertinggi. Isu ini melangkaui batas politik.
“Ia tentang hak rakyat Johor. Apabila rakyat mendapat infrastruktur yang lebih baik, peluang pekerjaan meningkat dan ekonomi negeri berkembang, semua pihak akan mendapat manfaat.
“Pendekatan Johor ini boleh menjadi model kepada penyusunan semula sistem hubungan kewangan antara negeri dan persekutuan, sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan keadilan dan kemakmuran bersama,” katanya.- MalaysiaGazette
















